TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

BUKU KURANG, MEMBACA PUN KURANG?

DALAM Berita Minggu hari ini (29 November 2009), pada halaman 19, dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Pelajaran, YB Dr. Mohd Puad Zarkhashi melahirkan rasa terperanjat kerana lebih daripada 54.3% rakyat negara ini membaca bahan bacaan kurang daripada tujuh halaman sahaja dalam sehari. Beliau juga turut melahirkan rasa kurang senang akan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menerbitkan 16,044 judul buku sahaja sepanjang tahun lalu (2008). Menurutnya, penerbit buku di Malaysia seharusnya menerbitkan 27,000 judul buku setahun bagi menampung keperluan 27 juta orang rakyat Malaysia sekarang.
.
2. Wacana Saya berpendapat bahawa menteri tersebut wajar berasa terperanjat dengan keadaan tersebut, tetapi pada masa yang sama, beliau harus mengakui bahawa demikianlah tahap kegemaran membaca rakyat Malaysia, dan sepatutnya beliau tidak harus terkejut, kerana hal itu sudah lama berlaku.
.
3. Wacana Saya terfikir-fikir tentang rasional Timbalan Menteri Pelajaran itu mengaitkan kurangnya tabiat suka membaca dengan kurangnya penerbitan buku di Malaysia. Secara sepintas lalu, jumlah 16,044 judul buku yang diterbitkan oleh DBP, tidak termasuk judul buku yang diterbitkan oleh penerbitan swasta dan penerbitan di universiti, dan buku import, sudah cukup banyak sekiranya ingin dibaca oleh penduduk Malaysia.
.
4. Agaknya, dalam masa berapa lamakah seorang ulat buku dapat menghabiskan jumlah itu? Berapa peratuskah pembaca yang dapat membaca empat judul buku seminggu, atau 16 judul buku sebulan, atau 192 judul buku setahun? Mungkin Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan lain, termasuk perpustakaan di institut pengajian tinggi dan perpustakaan sekolah, dapat memberi jawapannya.
.
5. DBP yang menerbitkan buku tentang bahasa, kesusasteraan dan akademik pernah mendedahkan bahawa kebanyakan buku dicetak dalam lingkungan 3,000 naskhah sahaja, dan kebanyakannya tidak habis terjual di kedai buku dan di kedai DBP sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa buku tidak dibeli oleh orang awam. Mungkin ramai yang membaca buku di perpustakaan, tetapi jumlah bacaannya dapat diukur daripada jumlah pinjaman sesuatu judul buku.
.
6. Oleh itu, harus dibuat kajian yang sepatutnya untuk menentukan faktor kurangnya tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat kita, sama ada kekurangan bahan bacaan atau sikap rakyat yang memang tidak suka membaca. Kalau kita ke stesen bas, kereta api, LRT atau Komuter, dan menaiki kenderaan tersebut, berapa keratkah dapat kita lihat penumpangnya sedang membaca apa-apa bahan bacaan, berbanding dengan jumlah yang leka melayan telefon bimbit, terutamanya dalam kalangan remaja?
.
7. Sekiranya 50% atau lebih masyarakat negara kita mendakwa sudah membaca semua buku yang diterbitkan, dan oleh sebab kurangnya atau tiadanya buku baharu di pasaran, menyebabkan mereka mula muak untuk terus membaca, maka hal itu akan membenarkan kaitan antara kurangnya bahan bacaan dengan kurangnya tabiat membaca. Jika sebaliknya yang ditemukan, jelaslah bahawa jumlah buku lebih banyak daripada pembaca.
.

BUKAN "MERBAHAYA" TETAPI 'BERBAHAYA"

MASIH banyak pengguna bahasa Melayu yang keliru ketika menggunakan kata terbitan atau kata berimbuhan. Contoh yang ketara ialah penggunaan imbuhan dalam perkataan *merbahaya.

Bentuk itu tidak tepat kerana dalam bahasa Melayu tidak wujud imbuhan *mer-. Yang sesuai ialah ber-. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) ada menyenaraikan perkataan merbahaya, tetapi dirujukkan sebagai marabahaya, yang bermaksud "bermacam-macam bencana atau bahaya". Dengan maksud itu, merbahaya atau marabahaya ialah kata nama, sedangkan berbahaya ialah kata kerja.

Maksud ber- dalam situasi ini ialah “ada” atau “mempunyai”. Dengan hal yang demikian, berbahaya bermaksud “boleh mendatangkan bahaya” atau “dalam bahaya”. Oleh itu, gunakanlah perkataan berbahaya.


Satu contoh lagi ialah *pergerakkan. Imbuhan *per-...-kan juga tiada dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah pe-...-an dan per-...-an. Jika digunakan pe-...-kan, yang terhasil ialah *pegerakan. Bentuk ini salah juga. Oleh itu, bentuk yang betul ialah pergerakan

HUKUM D-M

UNTUK memastikan bahawa binaan frasa nama adalah betul, kita hendaklah menyusunnya secara “hal yang hendak diterangkan” (inti atau fokus) mendahului “hal yang menerangkan” (penerang atau cerita). Susunan ini dikenali sebagai Hukum D-M, yang bermaksud “diterangkan dan menerangkan”, iaitu D= diterangkan, dan M= menerangkan.
.
Sekiranya susunan itu terbalik, binaan frasa tersebut dianggap tidak tepat. Contoh penggunaan yang salah adalah seperti yang berikut:
.
  • *mini bas
  • *goreng pisang
  • *cili sos
.

Adakah kita menaiki mini? Tidak, kita menaiki bas. Kita tidak makan goreng, tetapi makan pisang. Kita tidak menggunakan cili, tetapi menggunakan sos. Perkataan mini, goreng, dan cili hanyalah penerang jenis bagi bas, pisang, dan sos. Oleh itu, kita menaiki bas mini (bas kecil), makan pisang goreng (pisang yang digoreng), dan menggunakan sos cili (sos yang dibuat daripada campuran cili).
.
Demikian juga halnya dengan *Ahmad Restoran, atau *Kim Klinik. Untuk makan kita pergi ke restoran, bukan ke Ahmad. Bagi mendapatkan rawatan kita pergi ke klinik, bukan ke Kim. Ahmad dan Kim hanya penerang bagi nama restoran dan klinik. Dengan yang demikian, bentuk yang betul ialah Restoran Ahmad dan Klinik Kim.
.
Namun demikian, jika dikatakan kita hendak ke rumah Kim Klinik, frasa ini boleh diterima kerana kita mahu ke rumah Kim yang digelar Kim Klinik, kerana Kim memiliki klinik. Hal ini dikatakan demikian kerana intinya (hal yang hendak dicakapkan) ialah Kim, dan penerangnya ialah Klinik.
.
Walaupun begitu, terdapat beberapa frasa yang digunakan sekarang bertentangan dengan hukum D-M. Hal ini dianggap kecualian. Hal ini terjadi kepada frasa yang membawa maksud jawatan, gelaran atau panggilan, serta yang menunjukkan bilangan. Dalam contoh-contoh yang berikut, perkataan yang berhuruf tebal ialah inti.
.
  • Perdana Menteri
  • Ketua Pengarah
  • Naib Yang Dipertua
  • Profesor Khaidir
  • Haji Roslan
  • Mak Cik Maimunah
  • dua ekor ayam 
.

TIADA HURUF "Y" PADA AKHIR KATA

HURUF y” pada akhir perkataan bahasa Inggeris yang dipinjam oleh bahasa Melayu sering dikekalkan oleh segelintir pengguna bahasa Melayu dalam penulisan mereka. Kecenderungan ini merupakan kesalahan bahasa dari aspek ejaan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam bahasa Melayu, huruf “y” bukan huruf vokal, tidak dapat membentuk suku kata, dan tidak boleh wujud pada akhir perkataan.
.
Beberapa contoh yang dapat dikesan antaranya ialah *January dan *February. Dalam bahasa Melayu, “y” hanya boleh hadir pada awal suku kata, seperti dalam perkataan yayasan, bayar, dan kayu. Jika digunakan pada akhir suku kata atau perkataan, bagaimana perkataan berkenaan hendak dibunyikan? Oleh hal yang demikian, ejaan yang betul ialah Januari dan Februari, iaitu “y” digantikan dengan “i”.
.
Penggantian ini melibatkan semua “y” penutup suku kata pada akhir perkataan.
  • lorry - lori
  • memory - memori
Selain itu, terdapat perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris yang mempunyai huruf "y" di tengah suku kata. Huruf "y" itu juga perlu digantikan dengan "i" untuk ejaannya dalam bahasa Melayu.
  • mystic - mistik
  • system - sistem

HURUF "E" ATAU "I", DAN "O" ATAU "U" DALAM KATA PINJAMAN

TERDAPAT perkataan serapan daripada bahasa asing yang ejaan asalnya menggunakan “e” dieja sebagai “i”, dan “o” dieja sebagai “u”. Cara pengejaan tersebut tidak tepat. Perkataan daripada bahasa asing tidak tertakluk kepada 18 pola keselarasan huruf vokal bahasa Melayu. Ejaan asal perkataan tersebut dikekalkan atas dasar kecualian. Oleh itu, banyak ejaan kata pinjaman tertakluk kepada pola kecualian keselarasan huruf vokal.


Perkataan yang terlibat, antaranya ialah bestari dan pendeta yang berasal daripada bahasa Sanskrit, kerap dieja sebagai *bistari dan *pendita. Perkataan lain yang dapat dikesan ialah *anih dan *tulin. Kedua-dua perkataan daripada bahasa Indonesia itu sepatutnya dieja aneh dan tulen. Perkataan daripada bahasa Inggeris, protein dan atlet pula selalu dieja secara salah sebagai *protin dan *atlit.


Selain itu, perkataan yang menggunakan vokal “o” dan “u” juga turut menimbulkan kekeliruan. Antaranya ialah *lakun, *perabut, dan *pamir. Ejaan yang betul ialah lakon, perabot, dan pamer, iaitu ejaan asal dalam bahasa Indonesia.

KATA KLITIK PERLU BERCANTUM DENGAN KATA DASAR

KATA klitik ialah istilah yang digunakan untuk ganti nama singkat. Bentuk ini sering digunakan oleh pengguna bahasa berdasarkan keperluan budaya. Bentuk yang lazim digunakan ialah kau-, -mu, -ku, dan -nya.
.
Bentuk singkat ini tidak boleh berdiri sendiri sebagai perkataan. Oleh itu, ganti nama ini perlu dicantumkan pada kata dasar yang mendahului atau mengikutinya.
.
  • kaubaca
  • kausambut
  • kucari
  • kutulis
  • adikku
  • kepunyaanku
  • keperluanmu
  • laporanmu
  • bukunya
.

Oleh itu, bentuk yang berikut adalah tidak betul:
.
  • *kau baca
  • *kau sambut
  • *ku cari
  • *ku tulis
  • *adik ku
  • *kepunyaan ku
  • *keperluan mu
  • *laporan mu
  • *buku nya

JANGAN LUPA TANDA SEMPANG!

TANDA sempang (-) adalah antara tanda bacaan yang sangat penting dalam penulisan, selain noktah dan koma.
.
Sempang perlu digunakan bagi penulisan kata ganda. Contohnya, lama-lama, setinggi-tinggi, pelabur-pelabur, lintang-pukang, kuih-muih, dan sebagainya. Tanda itu dikekalkan walaupun gandaan itu mengalami pengimbuhan apitan. Contohnya, melama-lamakan, memporak-perandakan, disia-siakan, dan sebagainya.
.
Tanda itu juga perlu digunakan apabila menulis huruf yang bercantum dengan angka dalam satu perkataan. Contohnya, ke-47, 1990-an, 60-an, dan seumpamanya. Oleh hal yang demikian, tidak tepat jika kita menulis bentuk-bentuk tersebut *ke47 atau *ke 47, *1990an atau *1990 an, dan *60an atau *60 an.
.
Selain itu, sempang perlu digunakan untuk mencantumkan huruf kecil dengan huruf besar dalam satu perkataan. Contohnya ialah anugerah-Nya, anti-Amerika, rahmat-Mu, dan beberapa lagi. Ejaan yang selain di atas, seperti *anugerahNya atau *anugerah Nya, *antiAmerika atau *anti Amerika, dan *rahmatMu atau *rahmat Mu, adalah salah.

MENGENALI KATA KERJA TRANSITIF

KATA kerja ialah sejumlah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan. Kata kerja transitif ialah perkataan yang digunakan dalam binaan ayat transitif. Kata kerja jenis ini perlu diikuti oleh kata nama atau frasa nama, yang dikenali sebagai objek. Binaan ayat transitif berkenaan dianggap salah sekiranya kata kerja berkenaan tidak diikuti secara langsung oleh objek.
.
Bagaimanakah cara untuk mengenal pasti kata kerja transitif?
.
Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd dalam buku Tatabahasa Dinamika, cara yang mudah adalah dengan menanyakan “apa”. Sekiranya ada jawapannya, kata kerja yang digunakan itu ialah kata kerja transitif. Contohnya:
.
  • Menaiki apa? Menaiki bas.
  • Memasak apa? Memasak bubur.
.
Perkataan bas dan bubur ialah penyambut perbuatan, atau objek. Dengan hal yang demikian, kata kerja transitif ialah perbuatan yang dilakukan kepada sesuatu yang lain. Sesuatu yang lain itu ialah objek. Oleh itu, objek ialah “mangsa” perbuatan, atau sesuatu yang terkena perbuatan orang lain.
.
Ayat yang gramatis (tepat atau baku) ialah:
.
  • Shaari menaiki bas.
  • Ibu gemar memasak bubur.
.

Oleh itu, ayat yang berikut adalah salah:
.
  • *Shaari menaiki.
  • *Ibu gemar memasak.
.

Satu lagi kaedah untuk mengenali kata kerja transitif adalah dengan menukarnya kepada bentuk pasif. Kata kerja transitif membawa dan tersandung misalnya masing-masing dapat dipasifkan menjadi dibawa (oleh) dan tersandung oleh. Contohnya dalam ayat:
.
  • Emak membawa adik ke perpustakaan. - Ayat transitif
  • Adik dibawa oleh emak ke perpustakaan. - Ayat pasif
.

  • Kaki datuk tersandung akar. - Ayat transitif
  • Akar tersandung oleh kaki datuk. - Ayat pasif
.

Terdapat kata kerja yang tidak perlu diikuti oleh objek. Kata kerja jenis ini dipanggil kata kerja tak transitif. Kata kerja ini ialah perbuatan yang tidak dilakukan kepada orang atau benda lain. Kata kerja jenis ini tidak dapat dipasifkan.
.

KUIZ INTERAKTIF - SEMESTER 3

Mohon maaf. Kuiz untuk Semester 3 belum disediakan.




KUIZ INTERAKTIF - SEMESTER 1

Kuiz untuk Semester 1 belum disediakan. 




KUIZ INTERAKTIF - SEMESTER 2

Untuk menjawab soalan kuiz interaktif, sila klik pautan yang disenaraikan. 

*Anda boleh menjawab soalan-soalan yang berikut dan menyerahkan jawapannya pada bila-bila masa. Lihat jawapan yang betul yang disediakan selepas jawapan anda diserahkan.



A.   MORFOLOGI 



B.    SINTAKSIS

BAHASA MELAYU YANG KEEMPAT DI DUNIA

BAHASA Melayu yang digunakan pada hari ini berada dalam kedudukan keempat di dunia dari segi penggunaannya.
.
Hal ini dinyatakan oleh Wu Zongyu dalam kertas kerjanya, “Colloquium on Chinese Scholarship on the Malay World 2002” (Dewan Bahasa, Januari 2004: halaman 46). Menurut sarjana ini, bahasa Melayu berada di belakang bahasa Cina, bahasa Inggeris, dan bahasa Sepanyol.
.
Pendapat itu agak memeranjatkan kerana bahasa Melayu yang semakin tiada harga di negara sendiri ini tersenarai dalam empat yang terbesar dari segi penggunaannya. Juga memeranjatkan apabila bahasa Inggeris tidak termasuk sebagai bahasa paling banyak digunakan di dunia.
.
Pengarah The English Company (UK) Ltd., David Graddol, dalam jurnal Sains berjudul “Masa Depan Bahasa” menyatakan bahawa bahasa Benggali, bahasa Tamil dan bahasa Melayu ialah bahasa yang paling pesat berkembang.
.
Dr. Awang Sariyan (2004: Pengarah Jabatan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka) menjelaskan bahawa Bahasa Melayu digunakan oleh 300 juta orang. Menurutnya, bahasa Melayu digunakan di Malaysia, Indonesia, Brunei, selatan Thailand, selatan Kemboja, selatan Filipina, Laos dan Vietnam.
.
Selain itu, di Sri Lanka, 60,000 penduduknya turut menggunakan bahasa Melayu, di samping pengajarannya dijalankan di universiti di Perancis, Britain, Belanda, dan Australia (Berita Harian, 28 April 2004).

MENGGUNAKAN KATA SECARA BETUL


GAMBAR yang tertera ialah sebahagian daripada papan peringatan yang diletakkan di beberapa buah taman permainan di Terengganu. Maklumat yang hendak disampaikan adalah jelas. Pengunjung dapat memahaminya walaupun ada yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Namun demikian, penggunaan bahasa pada bahagian tertentu didapati ada kesilapan dari segi ejaan dan tatabahasa.
.
Kita analisis kesilapan tersebut dan cuba memperbetul semua kesilapan itu satu persatu demi kepentingan bahasa kita.

.
1. Kesalahan dari segi penggunaan imbuhan pada perkataan merosakan.


Perkataan merosakan terhasil daripada kata dasar rosak yang diberi imbuhan me-...-kan. Tiada imbuhan me...-an dalam bahasa Melayu. Oleh itu, huruf k mestilah ada dua, iaitu satu untuk akhir perkataan rosak, dan satu lagi untuk imbuhan -kan yang mengikuti perkataan itu. Dengan hal yang demikian, perkataan itu seharusnya dieja sebagai merosakkan. Satu lagi perkataan ini telah dieja secara betul bagi ikon di hujung sebelah kanan gambar .





2. Kesalahan dari segi ejaan pada perkataan kebawah.


Perkataan kebawah sebenarnya terdiri daripada kata sendi nama ke dan kata arah bawah. Oleh sebab ke bukan imbuhan, tetapi kata sendi nama, maka ke harus direnggangkan atau dijarakkan daripada perkataan bawah, menjadi ke bawah. Hal ini sebenarnya sama seperti perkataan di sini pada hujung baris selepasnya.



3. Kesalahan dari segi frasa di atas.


Ejaan frasa di atas betul. Frasa ini betul jika digunakan untuk menunjukkan maksud “sesuatu yang letaknya di bahagian atas (sesuatu yang lain)” seperti di atas meja. Malangnya, frasa di atas dalam ayat ini tidak bermaksud demikian. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan penggunaan dalam frasa di atas penggunaan bukan benda yang ada arah atau ruang atas, dan perkataan atas itu sendiri tidak berperanan sebagai arah. Oleh itu, kata sendi nama di tidak diperlukan; memadai dengan penggunaan kata atas sahaja, menjadi “...risiko atas penggunaan...”.



4. Kesalahan dari segi penggunaan perkataan adalah.


Perkataan adalah merupakan kata pemeri, yang sesuai digunakan sebelum kata adjektif (berkenaan sifat sesuatu) dan frasa sendi nama sahaja. Dalam ayat ini, perkataan yang mengikuti kata pemeri itu ialah tanggungan. Perkataan ini ialah kata nama, yang tidak sesuai digunakan dengan adalah. Sekiranya kita ingin mengekalkan penggunaan adalah, lebih sesuai kita tambahkan perkataan dalam selepas kata itu, menjadi “...adalah dalam tanggungan pengguna...” Hal ini wajar demikian kerana perkataan dalam dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Cara lain yang betul, sekiranya tidak mahu menambahkan perkataan dalam, adalah dengan cara membuang perkataan adalah itu.
.
Diharapkan agar kesilapan tersebut tidak mempengaruhi anak-anak yang baru atau sedang belajar untuk menggunakan bahasa secara betul. Marilah kita berhati-hati ketika menggunakan bahasa kebangsaan kita supaya tidak berlaku kesilapan.
.

GURU PROFESIONAL?

SERING kita dengar frasa guru sebagai profesion, profesion keguruan, profesion guru, dan ditambah dengan rangkai kata bidang profesional, daripada mulut masyarakat dan pemimpin, termasuklah pemimpin dalam Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada ungkapan itu, dapat kita simpulkan bahawa "bidang keguruan ialah satu profesion, dan sebagai satu profesion, guru ialah orang profesional".
.
2. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, profesion ialah pekerjaan, terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Berdasarkan latihan khas yang dijalani oleh bakal guru dan guru sedang berkhidmat, dapatlah kita katakan bahawa bidang keguruan merupakan satu profesion. Oleh itu, pendapat di atas ada benarnya. Hal ini dapat diterima dengan mengetepikan tenaga pengajar yang terdiri daripada guru sandaran tidak terlatih yang diambil berkhidmat di sekolah kerana kekurangan guru terlatih atau untuk menjadi pengganti guru yang bersalin, melanjutkan pelajaran atau bercuti panjang kerana sakit atau berehat.
.
3. Perkataan profesional pula, mengikut kamus yang sama, bermaksud: (i) yang berkaitan dengan bidang profesion, (ii) berasaskan (memerlukan) kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakannnya, cekap (teratur) dan memperlihatkan kemahiran tertentu, (iii) melibatkan pembayaran dilakukan sebagai mata pencarian, mendapat bayaran, dan (iv) orang yang mengamalkan sesuatu profesion (kerana pengetahuan, kepakaran, dan kemahirannya). Ciri-ciri di atas kelihatan wujud dalam pekerjaan guru. Oleh itu, secara kasarnya, bolehlah diterima anggapan bahawa bidang keguruan bersifat profesional.
.
4. Sekiranya kita perhalus tugas dan tanggungjawab guru di sekolah pada hari ini, masih tepatkah gelaran profeisonal yang diberi kepada golongan guru? Mari kita lihat tanggungjawab asas guru di sekolah. (i) Mengajarkan mata pelajaran mengikut kelulusan akademik atau ikhtisas, di samping mata pelajaran di luar kelulusannya, (ii) membimbing murid dalam bidang kokurikulum, melibatkan sukan, kelab/persatuan, dan pasukan uniform, (iii) menjadi guru tingkatan, (iv) penggubal soalan ujian/peperiksaan, (v) pemeriksa kertas ujian/peperiksaan, (vi) mencatat, merekod, dan membuat laporan hal ujian/peperiksaan, (vii) mengawasi dan menemani murid yang menyertai pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah, dan (viii) mengawasi disiplin murid sepanjang masa.
.
5. Isu yang suatu ketika dahulu hangat dibincangkan ialah tugas perkeranian yang terpaksa dijalankan oleh guru di samping tugas hakiki guru. Kesemua lapan tugas asas di atas melibatkan kerja-kerja perkeranian, dengan mengisi pelbagai borang dan laporan yang perlu disiapkan dalam masa yang ditentukan, lalu guru tidak cukup kaki dan tangan menyiapkan tugasan tersebut. Ketika Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan, isu ini cuba diselesaikan. Namun, sehingga sekarang, guru masih bergelumang dengan pelbagai tugas di luar tugas hakiki. Pada masa yang sama, pihak berkuasa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran terus mencanangkan bahawa sebagai guru, individu berkenaan harus melaksanakan segala hal yang berkaitan.
.
6. Dengan pelbagai tugas yang dibebankan kepada guru dari semasa ke semasa ini, masihkah layak guru dipanggil sebagai profesional? Ataupun, guru layak dipanggil pekerja am yang perofesional, yang sama taraf dengan kakitangan sokongan di pejabat? Perbezaan guru dengan kakitangan am ialah, guru melaksanakan segala kerja termasuk kerja perkeranian, namun kakitangan am dan sokongan tidak melaksanakan tugas mengajar murid dalam bidang akademik dan kokurikulum.
.
7. Pihak kerajaan kerap melaungkan bahawa bidang keguruan hendak diperkasakan sesuai dengan tugas guru yang semakin berat. Niat kerajaan itu sangat dialu-alukan oleh guru. Namun, kaedah dan pelaksanaannya masih tidak berkesan. Akhir-akhir ini wujud pula Guru Perpustakaan dan Media (Guru Media), Guru Penyelaras Bestari, dan Guru Data, yang dilantikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, dengan pelbagai tugas tambahan yang khusus, dianggap sebagai satu jawatan, seperti Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Penolong Kanan, tetapi tanpa elaun tambahan. Yang terakhir ini, wujud pula jawatan Guru Akademik Tingkatan 6, yang perlu mengajarkan subjek tidak kurang daripada 16 waktu seminggu, dan sekiranya tidak memenuhi peruntukan waktu itu, perlu mengajarkan mata pelajaran lain walapun tidak berkaitan dengan kelulusan dan bidangnya.
.
8. Untuk memerkasakan guru, supaya guru dapat mendapat hak sebagai guru yang profesional, guru harus diletakkan dalam bidangnya. Guru mungkin sesuai diletakan dalam kategori yang berikut:
  1. Guru Pengurusan
  2. Guru Akademik
  3. Guru Kokurikulum
  4. Guru Kaunseling.
Guru Kategori 4 sudah diwujudkan, dan guru ini sudah berkhidmat mengikut bidang pengajian atau kelulusannya. Oleh itu, isu bagi kategori ini sudah selesai. Guru Kategori 1, Kategori 2 dan Kategori 3 diberi tugas hakiki mengikut kategori itu sebanyak 80%, manakala 20% lagi tugasnya membantu bidang lain. Contohnya, Guru Akademik, harus menumpukan perhatian dalam hal akademik sebanyak 80%, dan membantu tugas guru Kategori 1 atau Kategori 3 sebanyak 20%.
.
Dengan kaedah ini, guru yang pakar dalam bidang tertentu tidak mensia-siakan kepakaran atau kemahirannya dengan menumpukan bidang lain yang di luar kemampuannya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa hanya jauhari yang mengenal maknikam. Secara tidak langsung, pembahagian tugas dan tanggungjawab begini akan mengurangkan beban minda, kudrat dan waktu guru. Hal ini membolehkah murid mendapat ilmu dan kemahiran daripada guru yang ada kepakaran. Mungkin dengan kaedah ini, guru terletak dalam kategori profesional yang sebenar.
.

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.