TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

INDAH DISEBUT SEMPIT DITAFSIR

NAMA dalam bahasa asing lebih indah didengar dan tersohor? Banyak contoh penggunaan nama bahasa asing untuk menamakan syarikat, bangunan, kenderaan, jabatan, dan sebagainya. Keadaan ini terjadi dalam agensi awam dan swasta.


Beberapa tahun dahulu, sebuah bank yang sangat berjasa kepada masyarakat bumiputera, khususnya orang Melayu, Bank Bumiputra, dua kali bertukar nama akibat proses penggabungan bank dan seterusnya terjadi pertukaran milik. Mula-mulanya bank itu dikenali sebagai Bumiputra Commerce Bank, dan kemudian, dinamakan pula CIMB Bank.


Yang terbaharu, pada pertengahan April 2008 lalu, Bank Pertanian pula menyusul. Sekarang nama Bank Pertanian telah berkubur walaupun buat sementara ini nama asal itu masih terpampang megah di beberapa premis bank itu. Yang wujud ialah nama baharunya, Agrobank.


Agro-, mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah “bentuk awalan asing berkaitan dengan pertanian, tanah, atau ladang”. Prof. Dr. Teo Kok Seong dalam ruangan “Surat” dalam Berita Harian, 22 April 2008 mendefinisikan agro- sebagai “tanah-tanih” dan “penghasilan tanaman”. Bagi Dr. Teo, nama baharu ini sangat sempit maknanya. “Agrobank nampaknya ingin menumpukan kegiatan perbankannya kepada pengurusan tanah-tanih untuk tujuan penghasilan tanaman. Adakah ini penampilan baru bank yang tidak lagi memberi tumpuan kepada pengurusan perusahaan ternakan?”


Beliau memberi cadangan nama yang wajar digunakan oleh bank itu. “...Barangkali nama Bank Tani sepatutnya digunakan. Nama ini ringkas dan penggunaan perkataan ‘tani’ itu selari dengan konsep lain seperti ‘masyarakat tani’, selain terus memartabatkan bahasa Melayu, adalah lebih berwibawa dari segi liputan makna daripada ‘agro’. Istilah ‘tani’ mencakupi skop lebih luas, antaranya penghasilan tanaman dan perusahaan ternakan secara sekali gus. Penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu sebenarnya tidak pun membawa apa-apa yang signifikan, melainkan glamor untuk tujuan penakjuban segera, dalam era yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris”.


Penukaran nama bank ini berbeza daripada penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia. Nama universiti itu ditukar sesuai dengan peranan yang ditanggung oleh universiti itu tidak sahaja mengenai pertanian, tetapi mempunyai beberapa fungsi lain sekarang. Namanya yang baharu, Universiti Putra Malaysia, dianggap sesuai kerana masih mengekalkan jati diri bahasa kebangsaan dengan penggunaan perkataan putra.


Untuk memelihara kedaulatan bahasa kebangsaan, pihak berkuasa harus mengambil langkah segera mewujudkan undang-undang atau akta yang mensyaratkan penjenamaan pertubuhan, agensi, kenderaan, bangunan, premis perniagaan, dan sebagainya, hendaklah menggunakan perkataan bahasa kebangsaan. Dengan peruntukan itu nanti, Pendaftar Pertubuhan, umpamanya, tidak membenarkan mana-mana pihak membuat penamaan menggunakan bahasa yang tidak berciri kebangsaan dan yang bersifat bahasa rojak jika penamaan itu untuk kegunaan di Malaysia. Pihak berkuasa tempatan juga seharusnya tidak mengizinkan pemasangan papan tanda atau kain rentang sebarang kegunaan yang mengetepikan bahasa kebangsaan.


Datuk Seri Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (sekarang Menteri Luar Negeri), pernah menyatakan bahawa “...pembudayaan bahasa harus bermula dengan pihak berkuasa, juga dengan mereka yang duduk dalam rumah kaca.” (Berita Harian, 11 Mei 2004). Pandangannya sukar dinafikan kerana lazimnya suara dari puncak pentadbiran kerap dapat menjadi arahan yang dipatuhi tanpa banyak kerenah.


Namun, keadaan yang berlaku sekarang sebenarnya berpunca daripada pihak berkuasa berkenaan tidak mengambil peduli akan hal ini. Mereka terlalu terpengaruh dengan kepentingan penggunaan bahasa antarabangsa, dengan tidak mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan di dalam negara. Kita percaya bahawa wawasan peribahasa ini amat tepat: Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.


Yang wajar sekali dikalungkan tahniah dan pujian ialah Kuala Lumpur Stock Exchange apabila namanya telah ditukar kepada Bursa Malaysia.

Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.