HURUF “y” pada akhir perkataan bahasa Inggeris yang dipinjam oleh bahasa Melayu sering dikekalkan oleh segelintir pengguna bahasa Melayu dalam penulisan mereka. Kecenderungan ini merupakan kesalahan bahasa dari aspek ejaan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam bahasa Melayu, huruf “y” bukan huruf vokal, tidak dapat membentuk suku kata, dan tidak boleh wujud pada akhir perkataan.
.
.
Beberapa contoh yang dapat dikesan antaranya ialah *January dan *February. Dalam bahasa Melayu, “y” hanya boleh hadir pada awal suku kata, seperti dalam perkataan yayasan, bayar, dan kayu. Jika digunakan pada akhir suku kata atau perkataan, bagaimana perkataan berkenaan hendak dibunyikan? Oleh hal yang demikian, ejaan yang betul ialah Januari dan Februari, iaitu “y” digantikan dengan “i”.
.
.
Penggantian ini melibatkan semua “y” penutup suku kata pada akhir perkataan.
- lorry - lori
- memory - memori
Selain itu, terdapat perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris yang mempunyai huruf "y" di tengah suku kata. Huruf "y" itu juga perlu digantikan dengan "i" untuk ejaannya dalam bahasa Melayu.
- mystic - mistik
- system - sistem
Tiada ulasan:
Catat Ulasan