KELMARIN, Berita Harian (22 Oktober 2009) melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mata pelajaran Sastera kembali diajarkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menurutnya, pengajaran mata pelajaran itu pernah dilaksanakan di SBP sebelum ini.
.
2. Cadangan tersebut mempunyai asas yang kuat untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran. Tidak aneh bagi pelajar aliran Sains mengambil mata pelajaran dalam aliran Kemanusiaan. Unsur dalam subjek Sastera sebenarnya memberi banyak imbangan nilai murni kepada pelajar.
.
3. Selama ini, Sastera hanya diambil oleh pelajar aliran Kemanusiaan. Di sekolah harian biasa, banyak sekolah meletakkan mata pelajaran ini diambil oleh pelajar sederhana, malahan terdapat sekolah yang menetapkan subjek ini diambil oleh pelajar kelas belakang atau lemah. Hal sedemikian tidak wajar, malahan tidak tepat. Mata pelajaran Sastera bukan mata pelajaran yang mudah. Pelajar perlu rajin membaca dan harus bijak membuat tafsiran unsur cerita dan unsur sasteranya. Pelajar berpencapaian sederhana, lebih-lebih lagi yang lemah, didapati tidak dapat menghayati cerita dan unsur sastera dengan baik, menyebabkan ramai yang gagal. Pelajar kumpulan ini kurang gemar membaca berbanding dengan pelajar yang cerdik, yang kebanyakannya mengikuti aliran Sains.
.
4. Sekiranya dibenarkan pelajar aliran Sains mengambil Sastera, mata pelajaran ini akan dapat dipopularkan. Guru yang mengajarkan mata pelajaran ini juga seharusnya bukan guru Bahasa Melayu, tetapi sebaik-baiknya guru yang cemerlang atau mengkhusus dalam Sastera ketika di universiti atau semasa mengikuti kursus perguruan. Guru yang tidak mempunyai ilmu kesusasteraan yang tinggi dapat menyebabkan mata pelajaran ini hambar dalam kalangan pelajar. Akibatnya, banyak sekolah sudah melupakan mata pelajaran Sastera di peringkat SPM, dan sudah lama mengetepikannya pada peringkat STPM. Sastera masih hidup secara "kurang bertenaga" di sekolah hanya kerana kewujudan Kompenan Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
.
5. Banyak nilai murni tersurat dan tersirat dalam karya sastera. Bahasanya yang indah, pengemukaan mesej secara bercerita, pengajaran yang secara tidak langsung, serta menuntut pelajar mencari dasar pemikirannya, merupakan elemen-elemen penting untuk memperkuat daya kreatif pelajar. Oleh itu, sekiranya pelajar Sains mengambil mata pelajaran ini, mereka dapat mengimbangkan diri dengan menggabung jalin fakta dalam Sains dengan keindahan dan seni dalam Sastera. Dengan yang demikian, pelajar ini akan menjadi pelajar yang hebat.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan