TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

PELAJAR YANG SERONOK!

"PELAJAR berhak mendapat keseronokan dalam proses pembelajaran mereka," kata Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong, dalam pertemuan dengan Pengetua dan Guru SPM dan STPM Peringkat Daerah Dungun di Sekolah Menengah Sains Dungun, pada 15 Oktober 2009 (Khamis), pukul 2.30 petang.
.
2. Menurutnya, guru harus melakukan apa-apa sahaja yang wajar agar dapat menyeronokkan pelajar dalam pembelajaran mereka, yang membolehkan mereka terus selesa belajar dan ingin terus belajar. Tambahnya lagi, guru harus rasa bersalah sekiranya pelajar tidak memperoleh keseronokan.
.
3. Perkataan "seronok" itu mungkin ada perkaitan dengan perkataan "menarik" yang selalu digunakan dalam buku pedagogi tentang kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Sekiranya pengajaran guru menarik, atau pelajar tertarik dengan pengajaran guru, maka pelajar pun seronok.
.
4. Apabila pelajar seronok belajar, guru juga semakin seronok mengajar. Letih lelah guru akan terubat apabila pelajar ingin belajar dan menunjukkan keseronokan mereka ketika mengikuti pelajaran. Lazimnya, guru tetap akan seronok menyampaikan pengajaran walaupun ada pelajarnya yang tidak seronok belajar. Guru tetap mengajar. Sekiranya guru tidak mengajar, guru akan dikatakan makan gaji buta atau tidak mempunyai komitmen dalam melaksanakan tugas hakiki mereka. Dalam keadaan tetap melaksanakan tugas walaupun menghadapi pelbagai masalah dari banyak penjuru, guru masih lagi diserang oleh pihak yang tidak berpuas hati.
.
5. Segelintir pelajar sekarang memang tidak seronok apabila disuruh melakukan tugas sebagai pelajar. Mereka seronok apabila kerja sekolah tidak disiapkan. Mereka seronok menghilangkan diri atau datang lewat apabila disuruh menghadiri perhimpunan mingguan dan harian. Masa yang sepatutnya mereka berada di dalam bilik darjah, mereka seronok meronda ke tempat lain. Terdapat juga pelajar yang seronok meninggalkan kawasan sekolah dengan melompat pagar pada waktu persekolahan, dan kemudiannya seronok kembali melompat pagar ke kawasan sekolah. Mereka seronok membiarkan ekor baju terjuih keluar daripada seluar, dan mereka makin seronok apabila cikgu menegur mereka supaya membetulkan keadaan baju itu, mereka mematuhinya sebentar, namun sebaik sahaja guru berlalu, ekor baju itu dijuihkan kembali.
.
6. Dalam situasi ini, sekiranya mahu pelajar demikian terus seronok, guru perlu mengajarkan hal yang dapat menyeronokkan mereka. Yang malangnya, hal yang menyeronokkan segelintir pelajar ini tidak terdapat dalam sukatan pelajaran dan bertentangan dengan disiplin sekolah.
.
7. Pelajar yang tidak seronok belajar ini sukar ditangani. Sekiranya ditegur dan dikenakan tindakan, ada tindakan balas yang dibuat mereka, dan lebih parah apabila tindakan mereka mendapat restu ibu bapa, termasuk ahli masyarakat tertentu. Jika tidak ditegur, gelagat mereka mengganggu emosi guru dan pelajar lain, malahan dengan tidak menegur mereka, guru dianggap telah melanggar etika keguruan. Benarlah, menjadi guru seperti berada di persimpangan yang berbahaya. Ditegur salah, tidak ditegur pun salah.
.
8. Pelajar yang sedemikian juga, lebih seronok berkumpul dengan kumpulan yang sehati sejiwa, melepak di tempat tertentu, dan mengusik orang yang lalu. Mengusik dan mengenakan orang lain ialah keseronokan yang tiada taranya bagi mereka, tetapi keseronokan mereka itu jika terhalang, seronoklah mereka bertindak balas!
.
9. Memang ramai juga pelajar yang ingin belajar dan seronok di sekolah. Golongan inilah yang ingin dididik dengan sempurna oleh guru. Namun demikian, dengan wujudnya golongan yang tidak seronok belajar itu, keseronokan golongan yang seronok belajar akan terjejas. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
.
10. Oleh hal yang demikian, golongan yang tidak seronok belajar ini sepatutnya tidak dibiarkan berada dalam kawasan sekolah. Biarlah mereka meraikan keseronokan mereka dengan cara mereka di luar sekolah. Kementerian Pelajaran harus membebaskan mereka atau tidak memaksa mereka agar menikmati rasa tidak seronok di sekolah. Jika mereka tidak mahu berhenti sendiri, tidak wajarkah kita berhentikan mereka? Jangan tunggu sehingga sampai satu tahap kritikal apabila guru pula merasakan tidak seronok mengajar!
.

Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.