TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

GURU PROFESIONAL?

SERING kita dengar frasa guru sebagai profesion, profesion keguruan, profesion guru, dan ditambah dengan rangkai kata bidang profesional, daripada mulut masyarakat dan pemimpin, termasuklah pemimpin dalam Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada ungkapan itu, dapat kita simpulkan bahawa "bidang keguruan ialah satu profesion, dan sebagai satu profesion, guru ialah orang profesional".
.
2. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, profesion ialah pekerjaan, terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Berdasarkan latihan khas yang dijalani oleh bakal guru dan guru sedang berkhidmat, dapatlah kita katakan bahawa bidang keguruan merupakan satu profesion. Oleh itu, pendapat di atas ada benarnya. Hal ini dapat diterima dengan mengetepikan tenaga pengajar yang terdiri daripada guru sandaran tidak terlatih yang diambil berkhidmat di sekolah kerana kekurangan guru terlatih atau untuk menjadi pengganti guru yang bersalin, melanjutkan pelajaran atau bercuti panjang kerana sakit atau berehat.
.
3. Perkataan profesional pula, mengikut kamus yang sama, bermaksud: (i) yang berkaitan dengan bidang profesion, (ii) berasaskan (memerlukan) kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakannnya, cekap (teratur) dan memperlihatkan kemahiran tertentu, (iii) melibatkan pembayaran dilakukan sebagai mata pencarian, mendapat bayaran, dan (iv) orang yang mengamalkan sesuatu profesion (kerana pengetahuan, kepakaran, dan kemahirannya). Ciri-ciri di atas kelihatan wujud dalam pekerjaan guru. Oleh itu, secara kasarnya, bolehlah diterima anggapan bahawa bidang keguruan bersifat profesional.
.
4. Sekiranya kita perhalus tugas dan tanggungjawab guru di sekolah pada hari ini, masih tepatkah gelaran profeisonal yang diberi kepada golongan guru? Mari kita lihat tanggungjawab asas guru di sekolah. (i) Mengajarkan mata pelajaran mengikut kelulusan akademik atau ikhtisas, di samping mata pelajaran di luar kelulusannya, (ii) membimbing murid dalam bidang kokurikulum, melibatkan sukan, kelab/persatuan, dan pasukan uniform, (iii) menjadi guru tingkatan, (iv) penggubal soalan ujian/peperiksaan, (v) pemeriksa kertas ujian/peperiksaan, (vi) mencatat, merekod, dan membuat laporan hal ujian/peperiksaan, (vii) mengawasi dan menemani murid yang menyertai pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah, dan (viii) mengawasi disiplin murid sepanjang masa.
.
5. Isu yang suatu ketika dahulu hangat dibincangkan ialah tugas perkeranian yang terpaksa dijalankan oleh guru di samping tugas hakiki guru. Kesemua lapan tugas asas di atas melibatkan kerja-kerja perkeranian, dengan mengisi pelbagai borang dan laporan yang perlu disiapkan dalam masa yang ditentukan, lalu guru tidak cukup kaki dan tangan menyiapkan tugasan tersebut. Ketika Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan, isu ini cuba diselesaikan. Namun, sehingga sekarang, guru masih bergelumang dengan pelbagai tugas di luar tugas hakiki. Pada masa yang sama, pihak berkuasa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran terus mencanangkan bahawa sebagai guru, individu berkenaan harus melaksanakan segala hal yang berkaitan.
.
6. Dengan pelbagai tugas yang dibebankan kepada guru dari semasa ke semasa ini, masihkah layak guru dipanggil sebagai profesional? Ataupun, guru layak dipanggil pekerja am yang perofesional, yang sama taraf dengan kakitangan sokongan di pejabat? Perbezaan guru dengan kakitangan am ialah, guru melaksanakan segala kerja termasuk kerja perkeranian, namun kakitangan am dan sokongan tidak melaksanakan tugas mengajar murid dalam bidang akademik dan kokurikulum.
.
7. Pihak kerajaan kerap melaungkan bahawa bidang keguruan hendak diperkasakan sesuai dengan tugas guru yang semakin berat. Niat kerajaan itu sangat dialu-alukan oleh guru. Namun, kaedah dan pelaksanaannya masih tidak berkesan. Akhir-akhir ini wujud pula Guru Perpustakaan dan Media (Guru Media), Guru Penyelaras Bestari, dan Guru Data, yang dilantikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, dengan pelbagai tugas tambahan yang khusus, dianggap sebagai satu jawatan, seperti Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Penolong Kanan, tetapi tanpa elaun tambahan. Yang terakhir ini, wujud pula jawatan Guru Akademik Tingkatan 6, yang perlu mengajarkan subjek tidak kurang daripada 16 waktu seminggu, dan sekiranya tidak memenuhi peruntukan waktu itu, perlu mengajarkan mata pelajaran lain walapun tidak berkaitan dengan kelulusan dan bidangnya.
.
8. Untuk memerkasakan guru, supaya guru dapat mendapat hak sebagai guru yang profesional, guru harus diletakkan dalam bidangnya. Guru mungkin sesuai diletakan dalam kategori yang berikut:
  1. Guru Pengurusan
  2. Guru Akademik
  3. Guru Kokurikulum
  4. Guru Kaunseling.
Guru Kategori 4 sudah diwujudkan, dan guru ini sudah berkhidmat mengikut bidang pengajian atau kelulusannya. Oleh itu, isu bagi kategori ini sudah selesai. Guru Kategori 1, Kategori 2 dan Kategori 3 diberi tugas hakiki mengikut kategori itu sebanyak 80%, manakala 20% lagi tugasnya membantu bidang lain. Contohnya, Guru Akademik, harus menumpukan perhatian dalam hal akademik sebanyak 80%, dan membantu tugas guru Kategori 1 atau Kategori 3 sebanyak 20%.
.
Dengan kaedah ini, guru yang pakar dalam bidang tertentu tidak mensia-siakan kepakaran atau kemahirannya dengan menumpukan bidang lain yang di luar kemampuannya. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa hanya jauhari yang mengenal maknikam. Secara tidak langsung, pembahagian tugas dan tanggungjawab begini akan mengurangkan beban minda, kudrat dan waktu guru. Hal ini membolehkah murid mendapat ilmu dan kemahiran daripada guru yang ada kepakaran. Mungkin dengan kaedah ini, guru terletak dalam kategori profesional yang sebenar.
.

Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.