TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

TEPUK DADA TANYA SELERA...

UMUM mengetahui bahawa ungkapan bagi tajuk di atas ialah satu daripada peribahasa Melayu. Setiap patah kata yang membina peribahasa itu pun diketahui umum maknanya. "Tepuk" ialah perbuatan dengan menggunakan tapak tangan, "dada" ialah anggota badan yang terletak di antara leher dengan perut, manakala "selera" sudah tentu dikaitkan dengan keinginan untuk makan atau nafsu makan.


Banyak pengguna ungkapan itu sekarang memahami perkataan "selera" seperti yang didefinisikan pada perenggan pertama di atas, iaitu tentang "makan". Orang Melayu tidak lepas daripada hal makan, sehingga mati kerana makan, kata mereka. Oleh itu, sesetengah pengguna telah mengubahsuainya menjadi, "Tepuk dada tanya iman", supaya sesuai dengan keperluan zaman, dan yang mustahak, kata sesetengah yang lain, menepati ajaran agama.

Adakah pihak itu memahami maksud sebenar kiasan itu? Umum mengetahui bahawa peribahasa ialah bentuk pernyataan orang-orang zaman dahulu secara berhemah. Maksud yang hendak disampaikannya tidak secara terang-terangan, sebaliknya ada unsur tersirat. Oleh itu, gabungan empat patah kata itu tidak membawa makna leksikalnya.

Sudah tentu maksud "selera" itu tidak semata-mata berkait dengan "makan". Ada falsafah lain di sebaliknya. Kalau kita menyelak Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua (2008:715-716), dinyatakan dua makna, iaitu seperti yang selalu kita fahami itu, dan yang kedua, "apa-apa yang disukai orang; kemahuan terhadap sesuatu". Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005:1424), "selera" mempunyai tiga makna. Pertama, makna yang selalu kita fahami itu, dan keduanya, "kegemaran, pilihan, kehendak, cita rasa", serta ketiganya, "nafsu, keinginan".

Oleh itu, tanggapan pihak tadi sangat meleset. Dengan tanggapan tidak tepat itulah maka timbulnya keinginan untuk mengubahnya demi membuat penyesuaian dengan keperluan masa dan ajaran agama. Kita tidak sedar bahawa ungkapan itu sebenarnya sesuai untuk sepanjang masa dan berkaitan juga dengan kehendak agama sekiranya kita memahami falsafah yang dikandungnya.

"Selera" dalam kiasan itu lebih berkait dengan kemahuan atau apa-apa perkataan yang sinonim dengannya. Maksudnya, "tanyalah kemahuan" yang diingin yang sesuai dengan diri seseorang atau suasana yang sedang dialami. Contohnya, apabila hendak membuat sesuatu keputusan, kita tanyalah diri kita sendiri, tentang hala tuju keputusan atau perbuatan kita nanti, dan baik buruknya.

Selain itu, mengapakah yang ditepuk ialah "dada", bukan "perut" atau "kepala", misalnya? Hal itu juga merupakan falsafah. Pada bahagian dada terdapat jantung dan hati. Kedua-dua organ itu berkait rapat dengan kesihatan dan kemampuan kita untuk bergerak atau beraktiviti. Jantung dan hati, sekiranya rosak, lazimnya akan memendekkan riwayat hidup manusia. Oleh itu, maksudnya, dengan bertanya dada, kita akan dapat mengagak sejauh mana kemampuan kita untuk melakukan sesuatu. Kalau kita bertanya perut, barulah sesuai dengan hal makan-makan.

Demikianlah peribahasa, sarat dengan makna yang tersirat. Oleh itu, janganlah bersikap untuk menukar diksinya dengan sewenang-wenangnya. Perkataan yang dipilih itu mempunyai makna sesuai untuk pelbagai kemungkinan.

Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.