TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

WARKAH KEPADA SITI JARUM

DALAM Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011 (Ahad), seorang kolumnis akhbar itu sendiri, dengan nama samarannya, Siti Jarum, menulis hal bahasa, "Apa dok kalut bahasa SMS?". Antara kandungan penting tulisannya ialah bahawa perbincangan tentang bahasa SMS yang heboh sekarang "mengarut". Menurutnya, keadaan itu bukan salah pelajar, sebaliknya salah orang-orang besar yang bercakap dengan merojakkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Pada hari yang sama, saya terpanggil untuk memberi pendapat saya tentang perkara tersebut. Saya menghantar pandangan saya melalui e-mel kepada Siti Jarum, seperti yang berikut:




Assalamualaikum, Siti Jarum.


Saya membaca pandangan Siti Jarum tentang bahasa Melayu, “Apa dok kalut bahasa SMS?” dalam ruangan “Siti Jarum” (Mingguan Malaysia, hlm. 8, 19 Jun 2011). Izinkan saya memberikan pendapat saya tentang pandangan Siti Jarum itu. Coretan saya ini agak panjang, namun saya berharap Siti Jarum dapat membacanya walaupun untuk sekali khatam sahaja.


Kalau diteti secara keseluruhan, kerosakan bahasa Melayu terjadi oleh beberapa faktor. Oleh itu, hal itu berlaku tidak disebabkan oleh “...SMS atau penjual dan pembeli ikan di pasar” dan “...budak-budak sekolah yang mencipta singkatan mereka sendiri..” semata-mata, tetapi juga oleh pelbagai pihak dan keadaan lain, termasuklah “...orang-orang yang besar... yang selalu cakap dalam televisyen, bahasanya sekerat Melayu dan sekerat Inggeris”. Saya bersetuju dengan pandangan Siti Jarum itu.


Isu yang dibincangkan sebenarnya tidaklah berkaitan dengan sistem bahasa itu secara keseluruhan. Apabila dibincangkan tentang SMS, aspek yang dimaksudkan adalah tentang ejaan, iaitu bahasa bertulis, bukan bahasa lisan. Penggunaan ejaan singkat dalam pengiriman SMS itu memang tidak dapat dielakkan kerana ruang dalam telefon bimbit sangat terhad. Lagi pula, apabila disebutkan pesanan ringkas, tentulah harus maklumat itu disampaikan dengan ringkas, termasuk dari segi inti dan ejaannya. Sekiranya dilihat dari sudut undang-undang, penggunaannya tidaklah menyalahi peraturan bahasa rasmi kerana banyak SMS digunakan dalam urusan tidak rasmi.


Namun demikian, Siti Jarum, yang dihebohkan sekarang ialah ejaan SMS itu digunakan oleh pelajar dalam suasana rasmi. Mereka menggunakannya dalam penulisan tugasan di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Singkatan yang dilakukan itu pula tidak bersistem, iaitu mengikut cita rasa sendiri. Hal ini menyebabkan perkataan yang dieja itu tidak difahami oleh orang lain, terutamanya guru dan pemeriksa kertas peperiksaan awam. Dewan Bahasa dan Pustaka ada mengeluarkan panduan tentang cara mengeja singkatan yang betul untuk SMS tetapi tiada orang yang mengikuti panduan itu. Walaupun panduan itu ada, hanya beberapa bentuk singkatan yang sesuai digunakan dalam penulisan rasmi.


Yang paling mendukacitakan ialah pelajar menggunakan singkatan yang tidak dibenarkan itu dalam penulisan jawapan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Seringnya dalam penulisan itu bukan sahaja ejaan yang salah, tetapi ayat dan cernaan isi juga tidak bersifat sinambungan dan tiada keserasian dari segi bahasa. Akibatnya, pelajar akan mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan. Jika pelajar itu gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan gagal keseluruhan mata pelajaran itu, yang menyebabkan mereka tidak mendapat sijil. Kesannya, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kebijaksanaan mereka, walaupun bagi mata pelajaran lain mereka memperoleh A+.


Kalau orang besar-besar (tak sama makna dengan “...orang yang besar-besar...”), mereka sudah mendapat kedudukan tinggi dan masa depan mereka sudah ada di dalam tangan mereka. Oleh itu, tidak harus dibimbangi lagi tentang mereka. Namun anak-anak di peringkat sekolah ini baru sedang berjuang untuk sampai ke tempat orang besar-besar itu. Hal itulah sebenarnya yang diribut-ributkan oleh pihak yang berkenaan, Siti Jarum.


Dengan hal yang demikian, kenyataan Siti Jarum bahawa sesiapa yang memikirkan hal ini “...agak mengarut” tidak dapat membantu generasi kita untuk menjadi pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Merekalah yang perlu dididik supaya menjadi pengguna yang baik kerana masih lagi rebung. Orang-orang besar yang dikatakan oleh Siti Jarum itu sudah menjadi buluh yang keras; sukar untuk dibentuk lagi. Masalah ini tidak dapat diatasi oleh guru mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja. Sudah pelbagai cara dilakukan oleh guru mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi tiada kesan yang baik kerana persekitarannya yang “songsang” lebih hebat membentuk mereka.


Marilah kita sama-sama membaiki keadaan ini. Kita yang ada pengetahuan dan kesedaran ini harus menggunakan bahasa dengan betul supaya menjadi teladan kepada generasi muda kita. Berterima kasihlah kita kepada mana-mana pihak yang prihatin akan hal ini, dan berilah sokongan dan bantuan sekadar yang kita mampu kerana isu ini bukan hal yang “...membuang masa kalut tak tentu pasal...” semata-mata.

Saya mengucapkan terima kasih sekiranya Siti Jarum membaca pandangan saya ini sehingga noktah terakhir. Maafkan saya sekiranya ada kekasaran bahasa.




+++++


Pada keluaran yang sama, kolumnis lain akhbar itu, Tengku Khalidah Bidin, juga menyentuh hal penggunaan bahasa dalam ruangannya, "Katarsis Kualong". Kalau Siti Jarum bercakap mengenai pelajar tentang SMS, Tengku Khalidah memberi nasihat kepada artis supaya menggunakan bahasa standard.




Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.