TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

PERATURAN BAHASA HARUS DIPERMUDAH

DALAM usaha untuk menarik minat masyarakat mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan meluas, sistem bahasa itu sangat perlu dipermudah. Hal ini dikatakan demikian kerana masih banyak pengguna tidak faham dan selalu keliru ketika berbahasa kebangsaan, termasuklah penutur jati bahasa Melayu di negara kita.

Mempermudah itu bermaksud kita cuba menggunakan kaedah yang senang difahami khalayak dalam sebarang buku yang membincangkan hal bahasa untuk kegunaan masyarakat. Hal atau fakta yang mungkin menyebabkan pembaca awam bercanggah pendapat atau keliru tidak perlu dikemukakan, kecuali dalam media kajian yang digunakan oleh pihak yang sudah pakar dalam bidang bahasa.

Sekarang ini agak banyak kajian dilakukan oleh sarjana atau bakal sarjana tempatan tentang penggunaan bahasa dalam kalangan penutur jati. Kajian tersebut mencungkil beberapa dapatan yang mungkin bertentangan dengan sistem yang terdapat dalam buku rujukan tatabahasa yang digunakan sekarang. Penemuan baharu itu memang baik kerana dapat memperkaya sistem bahasa kita. Namun demikian, mungkin dapatan baharu itu tidak dapat difahami oleh pengguna bahasa secara keseluruhan.

Buku Tatabahasa Dewan yang sudah memasuki edisi ketiga sekarang, telah menjadi pegangan atau rujukan utama pelajar sekolah, penuntut pengajian tinggi, guru, dan kakitangan awam dan swasta yang berkenaan. Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Perkembangan Kurikulum (sekarang Bahagian Pengembangan Kurikulum) mengarahkan guru dan pelajar menggunakan buku itu sebagai rujukan. 

Buku tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seiring dengan keperluan perancangan bahasa kebangsaan di Malaysia. Perancangan korpus, yang melibatkan tatabahasa, sebutan, ejaan, perkamusan, dan peristilahan, perlu dilakukan untuk mewujudkan keselarasan atau keseragaman dalam penggunaan bahasa. Hal itu penting dilaksanakan kerana kepelbagaian bahasa yang wujud di negara ini. Selain bahasa Melayu, bahasa Cina, dan bahasa Tamil, serta bahasa Inggeris, yang jelas berbeza dari segi sistemnya, kita juga mempunyai banyak etnik yang mempelbagaikan sebutan dan makna. Penerbitan Tatabahasa Dewan dilihat telah dapat menunjukkan kesan yang positif, walaupun buku itu mungkin belum benar-benar mantap dari sudut tertentu.  Yang baiknya ialah semakin ramai pihak yang menggunakan buku panduan itu.

Pada masa yang sama terdapat pelbagai buku tatabahasa lain, yang dihasilkan oleh ahli bahasa seperti Asmah Haji Omar, Abdullah Hassan, Asraf, dan beberapa orang lagi. Penghasilan buku oleh mereka menambahkan pengetahuan dan kemahiran pengguna bahasa kerana terdapat aspek lain yang diberikan perhatian tetapi tidak disentuh oleh Tatabahasa Dewan. Walaupun begitu, huraian dalam buku-buku tokoh tersebut yang sangat teknikal sukar difahami oleh pelajar sekolah dan pengajian tinggi, termasuk guru Bahasa Melayu juga. Oleh hal yang demikian, buku Tatabahasa Dewan dapat mengimbangi keadaan ini, dengan menyelaraskan pemahaman tentang tatabahasa dengan mengetepikan peraturan yang rumit untuk difahami oleh pengguna bahasa biasa itu.

Yang terbaharu, muncul buku Tatabahasa Asas (Persatuan Bahasa Melayu Malaysia: 2012) yang digunakan oleh pelajar prauniversiti untuk menduduki kertas Bahasa Melayu bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia mulai tahun ini. Buku baharu ini masih menggunakan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama, tetapi menambah nilai dengan memasukkan dapatan daripada buku yang ditulis oleh ahli bahasa lain tadi. Sebahagian masukan itu sangat baik dan dapat menambahjelaskan huraian tentang unsur bahasa tertentu. Namun demikian, terdapat penambahan yang pada awal ini sukar diterima oleh pihak yang sudah sebati dengan Tatabahasa Dewan.

Satu contohnya ialah Tatabahasa Asas (2012:73) mencadangkan agar penggunaan "ia" diperluas agar tidak terhad kepada fungsi sebagai ganti nama diri manusia sahaja. Alasannya ialah dalam bahasa Melayu klasik, "ia" digunakan untuk apa-apa sahaja yang merupakan nama, selain penggunaannya dapat memendekkan ungkapan kerana harus mengulangi frasa yang panjang berkali-kali. Selama ini, ketika Tatabahasa Dewan tidak menyenaraikan "ia" sebagai ganti nama untuk semua kata nama, sudah banyak pihak, termasuk guru bahasa dan pelajar, menggunakannya dengan meluas, kerana terdapat buku rujukan tambahan menggunakannya dan dijadikan rujukan oleh guru dan pelajar.

Satu contoh lagi adalah tentang imbuhan peN- dan meN- yang digandingkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s. Bagi kata dasar yang bermula dengan s misalnya, Tatabahasa Asas (2012:85; 135) menggunakan peraturan bahawa huruf pertama kata dasar itu mengalami pengguguran, lalu imbuhan yang bergabung dengan kata itu ialah peny- dan meny-. Sebaliknya, Tatabahasa Dewan (2008:109; 152) menganggap hal itu sebagai proses peluluhan dan penggantian, dan imbuhan yang bergabung dengannya ialah pe- dan me-.

Dua contoh kecil itu menimbulkan kerumitan kepada guru untuk membuat penjelasan kepada pelajar, apatah lagi kepada pengguna lain di luar sekolah. Bentuk ganti nama "ia" untuk bukan manusia memang digunakan oleh masyarakat penutur jati, termasuk oleh tukang cerita atau penglipur lara, lalu dirakamkan dalam bentuk tulisan dalam buku klasik, dan kekal hingga kini. Timbul pertanyaan daripada guru kini, adakah semua unsur bahasa yang digunakan oleh penutur jati atau penutur bahasa ibunda itu betul, dan semuanya boleh dikemukakan sebagai bahasa kebangsaan?

Oleh sebab itulah sistem bahasa harus dipermudah dengan cara mana-mana peraturan kecil yang boleh diketepikan tidak harus dijadikan halangan untuk menyenangkan pengguna bahasa kebangsaan berbahasa kebangsaan. Yang mustahaknya ialah warganegara kita makin berminat untuk berbahasa kebangsaan dan dapat menggunakannya dengan betul.

1 ulasan:

finaz berkata...

assalamualaikum, saya nak tanya mana saya boleh dapatkan buku tatabahasa asas stpm?

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.