TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - MENDAFTARLAH SEBAGAI AHLI/RAKAN PRAUNIVERSITI - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN TAHNIAH KEPADA PELAJAR YANG MENDAPAT KEJAYAAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN PENGGAL 2
-

OKTOBER - BULAN BAHASA KEBANGSAAN

PENGHARAMAN BAHASA ASING DI BULGARIA

PADA tahun 1996, sebuah cerpen saya tentang bahasa, "Bahasa Bonda". disiarkan dalam Mingguan Malaysia (16 Julai 1996). Cerpen itu mengisahkan seseorang dipenjarakan di sebuah negara asing kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan negara asing itu. Cerita itu rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Namun di dalam hati, saya berharap agar Malaysia boleh menjadi seperti negara itu, yang mengutamakan bahasa kebangsaan sendiri dengan kaedah yang sesuai.


Hal itu rupa-rupanya bukanlah mimpi. Sekarang terdapat negara yang mengutamakan bahasa sendiri sehingga tidak membenarkan bahasa lain digunakan di negara itu. Sila baca makalah di bawah ini.






BULGARIA HARAM BAHASA ASING*


oleh NAZMI YAAKUB
(Berita Harian, Selasa: 13 September 2011, hlm. 14-15)


(*Dipetik terus tanpa sebarang suntingan dari segi penggunaan perkataan, ejaan, tatabahasa dan susunan perenggan.)






BULGARIA bakal mengharamkan penggunaan bahasa asing acara rasmi termasuk dalam mesyuarat, perarakan dan perbarisan apabila Akta Penggunaan Bahasa Bulgaria diluluskan di Parlimen ketika persidangannya bulan depan.


Agensi Berita Sofia mendedahkan akta itu sudah pun diserahkan kepada Parlimen dan akan dibahaskan ahli Parlimen pada persidangannya yang akan bersambung semula selepas ditangguhkan sempena musim panas, baru-baru ini.


Di bawah akta itu, Majlis Bahasa Bulgaria dengan kuasa Kabinet bertanggungjawab memastikan kemurnian bahasa kebangsaannya terpelihara dan akan memanfaatkan warta negara sebagai wadah menyebarkan hukum tatabahasa, sebutan dan penggunaan bahasa asing kepada masyarakat.


Majlis Bahasa Bulgaria diketuai Pengerusi Institut Bahasa Bulgaria, Akademi Sains Bulgaria (BAS), manakala keanggotaannya dipilih dari institut itu, universiti dan sekolah.


Dengan terlaksananya akta itu, penggunaan bahasa asing akan diharamkan pada apa juga acara rasmi dan sekiranya ia membabitkan peserta dari luar negara, khidmat penterjemah perlu disediakan.


Di bawah akta itu juga, Majlis Bahasa Bulgaria akan melaporkan penggunaan bahasa kebangsaan kepada Parlimen setiap tahun, sekali gus mendedahkan sejauh mana pematuhannya di institusi awam seperti kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT), mahkamah, suruhanjaya dan agensi kerajaan.


Tindakan Bulgaria itu bakal mengekori sebahagian anggota Kesatuan Eropah (EU) yang memiliki akta bahasa kebangsaan seperti Ireland yang meluluskannya pada 2003 bagi memastikan penggunaan bahasa Irish oleh agensi awam, sekali gus menubuhkan Suruhanjaya Bahasa untuk mengawasi dan menguatkuasakannya.


Suruhanjaya itu turut berfungsi memberi saranan kepada nama tempat dalam bahasa Irish, selain membuang status rasmi bahasa Inggeris dalam penamaan itu di Gaeltacht, iaitu wilayah yang diiktiraf kerajaan sebagai dominasi bahasa Irish.


Selain Ireland, negara lain yang melaksanakan polisi bahasa kebangsaan ialah Belgium yang dipertanggungjawabkan kepada Kesatuan Bahasa Belanda; Latvia (Pusat Bahasa Kebangsaan Latvia); Poland (Majlis Bahasa Polish); Slovakia (Institut Linguistik Bahasa Slovak) dan Wales (Majlis Bahasa Welsh).


Antara negara yang paling awal meletakkan batu asas dalam memperkukuhkan bahasa kebangsaan ialah Perancis melalui Ordinan Villers-Cotterets pada 1539, sekali gus menggantikan bahasa Latin sebagai bahasa rasmi untuk dokumen rasmi dan undang-undang.


Pada 1992 pula, Perlembagaan Perancis dipinda untuk menjelaskan kedudukan bahasa Perancis sebagai bahasa republik, manakala Undang-undang Toubon pula diluluskan pada 1994 yang memberikan kuasa kepada kerajaan dalam isu bahasa.


Undang-undang itu mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam penerbitan rasmi kerajaan dan perdagangan seperti pengiklanan, kontrak serta sebahagian komunikasi bersifat komersial, selain dalam persekitaran tempat kerja dan sekolah yang menerima dana kerajaan.


Meskipun ia tidak membabitkan urusan peribadi dan komunikasi bukan komersial serta buku, filem dan pidato awam, undang-undang itu mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam program siaran audio dan visual kecuali muzik dan filem asing.


Penggubalan undang-undang itu juga bukan semata-mata bersifat atas kertas kerana anak syarikat Amerika Syarikat (AS) di Perancis didenda RM2.1 juta (STG500,000) dan RM84,000 (STG20,000) sehari pada 2006 ekoran perisian dan dokumen teknikal kepada kakitangannya dalam bahasa Inggeris saja.


Pensyarah Kanan, Unit Bahasa Perancis, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Haslinda Md Isa, berkata Academie Fransaise bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan dan penggunaan bahasa Perancis di negera berkenaan.


“Academie Fransaise yang ditubuhkan pada 1635 asalnya mempunyai kaitan dalam kepentingan politik, tetapi lama kelamaan perkembangannya berpusatkan kepada bahasa.


“Peranan utamanya adalah untuk menetapkan bahasa Perancis dengan menentukan piawaian terhadap tatabahasa dan perbendaharaan yang dapat diterima, selain menerima perubahan linguistik semasa,” katanya kepada Sastera di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.


Academie Fransaise, kata Haslinda, menjadi kata pemutus kepada sebarang polemik dan perdebatan mengenai bahasa Perancis yang ditentukan oleh anggotanya yang membabitkan tokoh dalam pelbagai bidang.


“Ia dianggotai 40 ahli jawatankuasa yang dikenali sebagai les immortels atau les Quarante dan sesiapa yang terpilih sebenarnya mendapat penghormatan tertinggi dan memegang jawatan itu seumur hidup.


“Selain Academie Fransaise, tanggungjawab memelihara dan mengembang bahasa Perancis turut dipikul oleh L’Alliance Fransaise dan La Francophonie yang berperanan memperluaskan penggunaannya di negara lain yang mempunyai penutur bahasa terbabit,” katanya.


***


Bagaimanakah agaknya dengan Malaysia? Kita mempunyai badan bahasa yang diberikan tugas mengembangkan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, namun kuasanya masih terhad, dan beberapa tindakannya pula seolah-olah dipersendakan oleh banyak pihak, kerana penggunaan dan kemurnian bahasa kebangsaan masih tercabar, hingga hari ini, meskipun negara sudah merdeka selama 54 tahun!


Tiada ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.