SAMBUTAN Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-57 tahun ini mendukung tema "Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta". Ungkapan yang dipetik daripada lagu gubahan dan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad itu sangat indah dan puitis didengar. Dari segi ketepatannya dengan suasana sekarang, ketika negara Malaysia diuji dengan pelbagai segi cabaran, memang sesuai sekali tema itu dipilih.
Namun demikian, kemungkinan besar tidak ramai yang menyedari bahawa tema itu mempunyai unsur bahasa yang tidak tepat. Penggunaan penjodoh bilangan sebuah dengan kata abstrak cinta, tidak sesuai. Sebagai hal yang abstrak, perkataan cinta tidak mempunyai bentuk fizikal. Dengan hal yang demikian, tidak sesuai untuk dipadankan dengan apa-apa penjodoh bilangan, termasuk buah. Penjodoh buah digunakan untuk benda-benda yang keras dan besar, seperti rumah, kereta, bangunan, meja, mesin, negara, ruang bilik dan sebagainya. Kita dapati penjodoh bilangan buah juga tidak digunakan untuk kayu, jalan raya, gelas dan seumpamanya, walaupun kesemua itu bersifat keras dan ada yang besar.
Oleh itu, tema itu lebih sesuai berbunyi, "Malaysia... Di Sini Lahirnya Cinta". Jika hendak digunakan kata bilangan satu, tidak menjadi kesalahan, tetapi sebutannya tidak puitis atau janggal.
Ungkapan tersebut tidak menjadi kesalahan dalam bidang kreatif seperti kesusasteraan dan lagu kerana bidang-bidang itu mempunyai ciri manipulasi bahasa untuk mewujudkan keindahan. Bentuk yang sedemikian tidak sesuai dengan peristiwa sambutan ulang tahun kemerdekaan kerana acara itu merupakan acara rasmi yang harus menggunakan bahasa kebangsaan yang baku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan