"PERJUANGAN belum selesai". Itulah ungkapan terkenal yang keluar daripada mulut bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Memang banyak perjuangan di negara kita ini belum selesai. Perjuangan memartabatkan bangsa, perjuangan mendaulatkan syiar agama, perjuangan menyatupadukan masyarakat berbilang keturunan, dan pelbagai perjuangan lagi, belum mencapai sasaran untuk selesai. Berbagai-bagai masalah timbul dan merencatkan kelicinan perjalanan perjuangan-perjuangan tersebut.
Demikian juga dengan perjuangan meletakkan bahasa kebangsaan pada tempat yang sepatutnya. Sudah lebih setengah abad bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan mengikut peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar secara berperingkat-peringkat dari sekolah rendah, hinggalah akhirnya bertakhta di semua universiti awam di negara ini. Sudah banyak cerdik pandai negara ini lahir daripada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, termasuk dalam bidang sains dan teknikal. Walaupun mereka mendapat pendidikan dalam bahasa kebangsaan, mereka dapat juga berbahasa Inggeris dan mencapai kemajuan seperti orang lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Hal ini menunjukkan bahawa kejayaan dan kemajuan tidak disebabkan oleh pendidikan dalam bahasa kebangsaan, tetapi keupayaan menguasai ilmu dan bahasa lain.
Setelah segala-galanya kelihatan bergerak mengikut landasan yang ditetapkan, tiba-tiba angin perubahan datang dan menggugurkan dedaun segar di luar dugaan. Pada tahun 1995, universiti awam dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris bagi kursus sains dan teknikal. Kemudiannya, bermula dengan sekolah rendah, diperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Buku teks dan buku latihan yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu digantikan dengan buku dalam bahasa Inggeris.
Semua itu terjadi kerana penguasaan bahasa Inggeris sangat rendah dalam kalangan pelajar, terutamanya di kawasan luar bandar. Penggubal dasar percaya bahawa dengan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan dapat meningkatkan pencapaian pelajar, dan dengan penguasaan bahasa dunia itu, pelajar akan mampu memperoleh banyak maklumat daripada sumber berbahasa Inggeris. Namun demikian, pada masa yang sama, kelemahan pelajar dalam bahasa kebangsaan tidak dititikberatkan.
Apabila PPSMI didapati tidak mencapai matlamat, dan kerajaan cuba mengembalikan dasar asal, terdapat pula pihak yang tidak henti-henti cuba menggugat keputusan kerajaan itu. Pelbagai desakan dilakukan agar PPSMI dikembalikan.
Pada hari ini, masyarakat lebih suka menggunakan bahasa Inggeris, dengan banyak alasan tersendiri. Nama jalan, kedai runcit, pasar raya, inap desa, pusat pendidikan, malahan warung kopi di kampung juga, lebih selesa menggunakan bahasa asing.
Dalam urusan di pejabat kerajaan, pelbagai kesalahan bahasa dilakukan dalam penulisan. Semenjak sekian lama, meskipun kerap dibuat pembetulan, kakitangan kerajaan masih keliru antara "di" sebagai imbuhan dengan "di" sebagai kata sendi nama.
Demikianlah, betapa perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan masih belum selesai...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan