MUNSYI Dewan yang mengadakah Muzakarah Munsyi Dewan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November hingga 1 Disember 2012 telah bersetuju untuk mengemukakan beberapa resolusi demi memperkukuh kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
Antara resolusi itu ialah desakan agar Kementerian Pelajaran dan semua pihak menggunakan istilah "Bahasa Melayu", bukan "Bahasa Malaysia" seperti yang diarahkan beberapa tahun lalu. Hal ini bersesuaian dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menetapkan "bahasa Melayu" sebagai bahasa kebangsaan.
Muzakarah juga mengesyorkan agar semua pelajar yang akan mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi turut dikenakan ujian seperti ujian Malaysian Universiti English Test (MUET) bagi bahasa Inggeris. Cadangan agar diadakan saringan yang dipanggil Ujian Bahasa Melayu Tinggi (UBMT) itu telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad, 2 Disember 2012.
Cadangan-cadangan itu dibuat untuk memantapkan pelaksanaan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015 yang dilihat tidak memberikan penekanan yang wajar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, sedangkan terdapat usaha yang lebih giat untuk meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris.
Resolusi untuk memperlengkap pelan pembangunan pendidikan tersebut tercetus daripada pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Karim, semasa membentangkan kertas kerja, "Isu-isu Semasa Bahasa" pada pagi 29 November 2012.
Semua resolusi dibentangkan oleh Presiden Majlis Munsyi Dewan Malaysia, Encik Zainuddin bin Saidin pada hari terakhir muzakarah, yang turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin bin Abang Shokeran. Perasmian muzakarah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Awang bin Sariyan pada 28 November 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan