PEPERIKSAAN awam tertinggi di peringkat sekolah ini asalnya dikenali sebagai Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Pelajar yang menduduki peperiksaan ini ialah yang berada di tingkatan enam selama setahun setengah. Peperiksaan ini dikendalikan oleh University of Cambridge dengan kerjasama Universiti Malaya. Calon yang lulus dan berkelayakan akan melanjutkan pelajaran di universiti awam tempatan.
Mulai tahun 1982, peperiksaan STP dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia, dan dikenali sebagai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Konsepnya masih sama dengan STP walaupun beberapa perubahan dari segi kaedah dilaksanakan. Pelajar masih perlu belajar selama satu tahun setengah sebelum menduduki peperiksaan itu pada hujung tahun kedua.
Pada tahun 2012, sistem STPM mengalami perubahan. Mulai pengambilan pelajar tingkatan enam tahun 2012, sistem modular diperkenalkan. Mengikut sistem baharu ini, pembelajaran dibahagikan kepada tiga penggal. Setiap akhir penggal pelajar akan menduduki peperiksaan, dan keputusan ketiga-tiga penggal diambil kira untuk menentukan calon mendapat sijil atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan