SEMASA Sijil Tinggi Persekolahan (STP), kertas Bahasa Melayu dikenali dengan nama Bahasa Malaysia melibatkan penilaian tentang penulisan karangan dan ringkasan, penterjemahan kepada bahasa Melayu, dan kajian tentang kesusasteraan Melayu.
Apabila Majlis Peperiksaan Malaysia mengambil alih pengurusan peperiksaan ini, yang dikenali pula sebagai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai 1982, mata pelajaran ini tidak melibatkan topik kesusasteraan Melayu lagi. Namun begitu, sehingga akhir tahun 1980-an, mata pelajaran ini masih dikenali sebagai Bahasa Malayisa. Namanya ditukarkan kepada Bahasa Melayu mulai awal 1990-an, tetapi dikembalikan kepada nama Bahasa Malaysia semula pada tahun 2007 hingga 2012.
Melalui sistem terminal sehingga tahun 2012, mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia dibahagikan kepada dua kertas, iaitu Kertas 1 (910/1) yang berbentuk objektif dan Kertas 2 (910/2) yang berbentuk penulisan.
Mulai pengambilan sesi 2012, yang merupakan perintis sistem modular, mata pelajaran Bahasa Malaysia kembali dikenali sebagai Bahasa Melayu. Mulai sistem baharu ini, kedua-dua bentuk soalan sebelum ini digabungkan. Lima kertas diwujudkan, iaitu Kertas 1 (910/1) bagi Penggal Pertama, Kertas 2 (910/2) dan Kertas 4 (910/4) bagi Penggal Kedua, dan Kertas 3 (910/3) dan Kertas 5 (910/5) bagi Penggal Ketiga. Kertas 5 (910/5) ialah kertas baharu, iaitu Projek Kajian Ilmiah, yang memerlukan calon membuat kajian tertentu berasaskan tema yang ditentukan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan