DALAM catatan kali ini, saya ingin memaklumkan bahawa terdapat beberapa kesilapan kecil yang terdapat dalam buku tulisan saya, Nota & Latihan STPM Bahasa Melayu Semester 2 yang diterbitikan oleh Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.
Kesilapan tersebut terdapat pada empat halaman, iaitu halaman 1, halaman 20, halaman 25, dan halaman 152. Edisi yang terlibat dengan kesilapan tersebut melibatkan terbitan 2022, 2021, 2022, 2019, 2017, dan 2015. Edisi 2015 dan 2017 menggunakan judul Nota & Latihan STPM Bahasa Melayu Penggal 2.
Oleh itu, saya dan PIB memohon pelajar dan guru yang menggunakan mana-mana edisi di atas, agar dapat membuat pembetulan untuk setiap halaman tersebut, seperti yang berikut.
Halaman 1:
Di bawah subtajuk "Struktur Kata", frasa "Susunan bunyi ujaran atau lambang dalam sesuatu kata" dibaiki menjadi "Susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang dalam sesuatu kata", atau "Susunan unsur bahasa dalam sesuatu kata".
Halaman 20:
Di bawah subtajuk "(c) Kata perintah". terdapat satu jadual. Kata "Silaan" pada baris kedua sepatutnya berada pada baris ketiga, manakala kata "Larangan" pada baris ketiga sepatutnya berada pada baris kedua.
Halaman 25:
Halaman ini memuatkan jenis "Kata adverba". Jenis "Kata adverba asalnya kata kerja" terdapat dua kali. Oleh itu, "Kata adverba asalnya kata kerja" yang kedua sepatutnya dibaca sebagai "Kata adverba asalnya kata adjektif".
Pada soalan 31, calon diminta untuk menyatakan proses pembentukan kata perkataan yang bergaris dalam ayat I, ayat II, dan ayat III. Walau bagaimanapun, tiada garisan pada mana-mana perkataan dalam ketiga-tiga ayat. Yang sepatutnya bergaris ialah:
Ayat I: Perhilitan
Ayat II: berkali-kali
Ayat III: hukum-hakam
Kesilapan pada halaman 20 dan 25 terjadi semenjak terbitan 2015, manakala kesilapan pada halaman 1 terjadi mulai terbitan 2017, dan kesilapan pada halaman 152 bermula pada terbitan 2019.
Saya dengan kesal dan rendah hati memohon maaf kepada semua guru dan pelajar yang menggunakan mana-mana edisi di atas, kerana dengan kesilapan itu, guru dan pelajar mengalami apa-apa kesulitan. Pembetulan untuk setiap kesilapan itu merupakan tanggungjawab saya sendiri, bukan kesalahan editor dan penerbit buku ini.
Oleh itu, sekiranya guru dan pelajar mengesan kesilapan lain dalam mana-mana edisi itu, saya berharap agar guru dan pelajar memaklumkannya kepada saya. Insya-Allah, kesilapan itu akan dibetulkan dalam cetak seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan