LAPORAN daripada Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari Yogyakarta, yang disiarkan oleh BH Online petang ini menyebutkan bahawa pendidikan tingkatan enam akan dijenamakan semula bagi meningkatkan imej pengajian itu sejajar dengan sistem pendidikan prauniversiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Menurut laporan itu, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa antara langkah yang akan diambil ialah pelajar berkenaan akan ditempatkan di pusat pengajian khas, menggunakan pakaian yang berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, dan diletakkan dalam kategori yang berlainan berbanding dengan sekolah biasa.
Langkah yang bakal dilaksanakan itu selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar prauniversiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran insitusi pengajian tinggi awam tempatan. Hal ini dapat melenyapkan tanggapan masyarakat sekarang bahawa pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.
Menurut Menteri Pelajaran, masyarakat tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada ketikanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi. Sehubungan dengan itu, pelajar lepasan SPM juga harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan prauniversiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan