TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN ... PATUHILAH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT: 19 FEBRUARI - 4 MAC 2021 - UNTUK KESELAMATAN KITA SEMUA

WAJIBKAN MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU DI PERINGKAT PENGAJIAN TINGGI

MATA pelajaran Bahasa Melayu (BM), kini mahu dikenali sebagai Bahasa Malaysia, telah diberikan kedudukan yang sangat tinggi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap orang calon peperiksaan itu harus belajar dan menduduki mata pelajaran tersebut. Calon pula perlu lulus mata pelajaran itu untuk membolehkannya memperoleh sijil. Hal ini bermakna bahawa sekiranya calon gagal mata pelajaran itu, walaupun mendapat pangkat 1A dalam semua mata pelajaran lain, calon itu tidak akan diberikan sijil. Tahniah kepada Pusat Perkembangan Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia atas keprihatinan yang sangat baik terhadap mata pelajaran BM.


Namun begitu, di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hal yang sama tidak diperkasa. Pelajar aliran Sains didapati tidak mempelajari mata pelajaran itu, dan sudah tentu tidak mendudukinya dalam peperiksaan itu. Demikian juga apabila pelajar memasuki pusat pengajian tinggi, termasuk institusi pengajian tinggi awam, pelajar tidak diwajibkan mengambil mata pelajaran dan kursus BM.


Demi kesinambungan hal yang telah dilaksanakan pada peringkat SPM, dan demi menjaga taraf BM sebagai bahasa kebangsaan, termaktub pula dalam Perlembagaan, yang semestinya dipatuhi, mata pelajaran BM wajar dipelajari dan diduduki oleh semua pelajar STPM dan pusat pengajian tinggi awam. Mereka juga sewajarnya disyaratkan lulus mata pelajaran itu untuk membolehkan mereka diterima masuk ke universiti awam, dan di peringkat universiti pula, mereka perlu disyaratkan lulus mata pelajaran itu untuk membolehkan mereka mendapat diploma atau ijazah. Syarat yang sama juga patut dikenakan kepada pelajar asing juga yang menuntut di universiti awam di Malaysia. Peraturan sedemikian tidak asing kerana kerajaan telah memperkenalkan kaedah yang sama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Setiap pelajar yang memasuki universiti awam diwajibkan lulus kertas Malaysian University English Test (MUET) untuk membolehkan siswa memperoleh ijazah.


Dengan cara demikian, bahasa Melayu akan berkembang dengan lebih cemerlang di Malaysia, dan kemungkinan tersebar juga ke negara lain. Syarat itu juga dapat melatih pelajar dan warganegara Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan dengan sistem ejaan dan tatabahasa yang betul dalam lisan dan tulisan. Hasilnya, tidaklah timbul kesalahan bahasa seperti yang lazim terdapat dalam penulisan dalam akhbar, majalah, surat, papan tanda, dan sebagainya.


Mata pelajaran BM pada peringkat STPM tidaklah terlalu sukar. Pelajar atau calon STPM hanya belajar sedikit tentang sejarah dan perkembangan bahasa Melayu, penggunaan bahasa itu dalam masyarakat, penghasilan bunyi bahasa, serta tentang semantik atau makna. Topik yang sangat penting dalam mata pelajaran ini ialah tatabahasa. Pelajar yang sudah belajar bahasa Melayu STPM tidak menghadapi masalah ketika di universiti kerana sukatan pelajaran BM pada peringkat itu juga tidak jauh bezanya dengan sukatan pelajaran STPM.


Oleh hal yang demikian, pelajar aliran Sains, yang pastinya pintar, tidak menghadapi masalah untuk lulus dengan pangkat cemerlang dalam mata pelajaran ini. Secara tidak langsung, pelajar Melayu akan membaiki penggunaan bahasa ibunda mereka, dan pelajar bukan Melayu pula dapat memperkemas penguasaan bahasa kebangsaan.

2 ulasan:

nor fadilah sulaiman berkata...

saya amat bersetuju mata pelajaran bahasa melayu diteruskan sehingga ke Universiti awam dan swasta. Jika kita lihat di universiti luar negara, mereka juga mewajibkan semua pelajar dalam dan luar negara untuk mempelajari bahasa ibunda mereka. Di Indonesia misalanya , mewajibkan pelajar dari luar menduduki peperiksaan bahasa Indonesia. usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa melayu sebenarntya terbantut di peringkat SPM sahaja, Seolah-olah di peringkat universiti , Bahasa Melayu tidak lagi penting kecuali mereka yang mengambil pengajian melayu.Di universiti swasta lagi menyedihkan. pelajar luar langsung tidak mengenali bahasa melayu, malahan mereka selesa mengetepikan bahasa melayu padahal mereka belajar di bumi Malaysia.di perngkat STPM pula, BM tidak diwajibkan unruk semua pelajar dan tidak dijadikan syarat lulus STPM, sebaliknya mernjadikan MUET wajib lulus untuk mendapatkan tempat di universiti.

Unknown berkata...

Setuju dgn pengarang. Moga bahasa Melayu kekal dimartabatkan sepanjang masa dan maju jaya selamanya!

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.