- *Hal ini kerana dia sudah lupa.
Klausa tersebut jelas sekali tidak menepati konsep binaan ayat. Klausa itu mempunyai subjek, "Hal ini", tetapi malangnya tidak disertai predikat. Klausa "kerana dia sudah lupa" tidak boleh dianggap sebagai predikat oleh sebab dimulai oleh kata hubung musabab, kerana yang berfungsi sebagai keterangan sahaja. Keterangan itu boleh digugurkan. Jika digugurkan, unsur yang tinggal hanyalah "Hal ini." Bentuk demikian hanyalah frasa subjek, dan tidak dapat membentuk ayat. Predikat dianggap wujud sekiranya ada unsur inti, yang terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, atau frasa sendi nama.
.
Oleh itu, pelajar dan pengguna bahasa Melayu dinasihati agar mengubahsuai klausa tersebut menjadi seperti yang berikut:
- Hal ini demikian kerana dia sudah lupa.
Perkataan demikian dianggap dapat menjadi predikat, manakala "kerana dia sudah lupa" kekal menjadi keterangan. Bentuk ini sudah tersebar luas beberapa lama.
.
Namun demikian, klausa "Hal ini demikian kerana dia sudah lupa" atau apa-apa klausa yang seperti itu, sudah tidak dapat lagi dipertahankan ketepatannya dari segi tatabahasa mulai 2008. Mulai tahun itu, buku tatabahasa pegangan, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga telah memperkenalkan "kata adverba" sebagai satu daripada kata tugas. Jenis kata tugas baharu ini terdapat pada halaman 289 hingga 295 buku tatabahasa itu. Satu daripada perkataan yang termasuk dalam kata adverba ialah demikian, yang dianggap sebagai kata adverba jati.
.
Oleh sebab itu, klausa "Hal ini demikian kerana dia sudah lupa" harus mengalami perubahan agar binaannya tepat. Untuk mewujudkan bentuk yang betul, satu frasa kerja dicadangkan diwujudkan selepas frasa "Hal ini" dan sebelum demikian. Frasa kerja yang sesuai ialah terjadi, atau berlaku, dikatakan atau perkataan lain yang sesuai dengan kehendak ayat yang dibina. Dengan perubahan itu, klausa tersebut seharusnya menjadi seperti yang berikut:
- Hal ini terjadi demikian kerana dia sudah lupa.
- Hal ini berlaku demikian kerana dia sudah lupa.
- Hal ini dikatakan demikian kerana dia sudah lupa.
Perubahan seperti itu terjadi kerana mengikut keperluan semasa. Sebagai bahasa yang dinamik atau dapat berkembang, perubahan sedemikian perlu kita terima. Dengan cara yang demikian, bahasa Melayu akan sentiasa hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan