TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

MUET TIDAK MESRA PENGAWAS!

HARI ini berlangsung Malaysian University English Test (MUET) edisi hujung tahun 2009 di seluruh negara. Setiap pelajar universiti wajib lulus ujian ini untuk membolehkan mereka memperoleh ijazah.
.
2. Ujian hari ini nampaknya rumit juga. Tidak mudah untuk menulis sepatah kata dalam satu ruangan bagi Bahagian 1, atau menulis frasa yang tidak lebih daripada lima patah kata bagi Bahagian 3. Namun begitu, itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh calon-calon ujian ini semenjak format baharu diperkenalkan mulai akhir tahun lalu.
.
3. Satu hal yang harus diambil perhatian oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ialah pelaksanaan ujian itu. Sekiranya pelajar rumit hendak menjawab soalan, pengawas yang dilantik turut menghadapi kerumitan lain. Waktu ujian yang sangat sendat menyebabkan pengawas bernafas semput.
.
4. Tiga kertas (800/3, 800/4 dan 800/1) yang terpaksa dikendalikan dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sangat menekan pengawas peperiksaan itu. Ruang antara setiap kertas hanya setengah jam. Calon dapat berehat, tetapi pengawas tidak mendapat ruang sedemikian. Setiap kali tamat kertas, pengawas harus mengendalikan urusan mengira kertas jawapan dan membungkus kertas jawapan itu untuk dipos, dan perlu pula menyiapkan urusan untuk kertas selanjutnya. Begitulah yang terjadi sehingga tamat kertas ketiga pada pukul 12.30. Ketika calon sudah pulang, pengawas perlu menyelesaikan urusannya juga. Tambahan lagi sekiranya pusat yang diawasi itu mempunyai lebih daripada satu jenis calon, seperti calon sekolah dengan calon persendirian, dan lebih parah apabila ada calon menumpang.
.
5. Yang terjadi ialah guru pengawas MUET kelaparan. Mereka mengawas peperiksaan dalam keadaan perut berkeroncong. Hal ini berlaku kerana mereka tidak ada ruang untuk makan. Mereka keluar awal dari rumah tanpa sempat menjamah sarapan, dan tidak dapat makan hingga tengah hari. Malangnya, bayaran yang diberikan untuk tempoh ujian selama 4 jam setengah hanya RM40.00! Maksudnya, imbalan itu bernilai tidak sampai RM10.00 untuk satu jam. Bayaran itu pula diterima tiga atau empat bulan kemudian. Ramai yang percaya bahawa sekiranya pengawasan peperiksaan ini dibuka kepada kakitangan kerajaan lain, tidak ada yang sanggup menerima tawaran itu. Sebabnya ialah bayarannya tidak mesra tugas!
.
6. MPM harus mengubah jadual yang sangat ketat itu. Satu kertas harus dijalankan pada waktu petang supaya ruang rehat yang selesa diperoleh pengawas dan calon untuk membereskan urusan masing-masing dengan sempurna. Selain itu, kadar bayaran harus ditingkatkan sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang. Bayaran RM40.00 itu sudah ketinggalan zaman!
.

TUNTUTAN BISP BAHASA MALAYSIA WAJAR

UTUSAN MALAYSIA melalui Portal Pendidikan hari ini melaporkan bahawa tuntutan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru Bahasa Malaysia telah dibuat oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.


2. Menurut laporan itu, tuntutan dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran Bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan, kerana mereka mengajarkan bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.


3. Wacana Saya berpendapat bahawa tuntutan itu tidak mengejutkan dan tidak keterlaluan, malahan wajar. Sudah tiba masanya guru Bahasa Malaysia diberi penghargaan kerana tugas mengajarkan mata pelajaran itu tidak mudah, dan berbeza daripada pengajaran mata pelajaran bukan bahasa. Sepatutnya imbuhan tersebut dipertimbangkan lama dahulu, iaitu ketika guru mata pelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris menikmati imbuhan tersebut.


4. Kewajaran pemberian imbuhan itu perlu dilihat daripada beban tugas yang terpaksa dipikul oleh guru Bahasa Malaysia (BM), terutamanya di sekolah menengah. Mari kita teliti hal-hal yang berikut:


i. Calon diwajibkan lulus Bahasa Malaysia untuk layak mendapat sijil SPM: Dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran ini merupakan beban besar guru BM yang tidak ditanggung oleh guru bahasa lain dan guru mata pelajaran lain. Peratusan pelajar yang lulus BM merupakan peratusan kelulusan sekolah. Walaupun pelajar cemerlang dalam mata pelajaran lain, mereka tidak dianugerahi sijil kerana gagal BM. Nyatalah bahawa masa depan, nasib dan “nyawa” pelajar terletak dalam tanggungjawab guru BM. Sekiranya ramai pelajar gagal BM, Panitia BM dan guru BM “ditoleh” oleh guru lain, pengurusan sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Jemaah Nazir Sekolah. Berat sungguh beban itu!


ii. Ruang lingkup tugas guru dalam pengajaran BM: Dalam pengajaran BM, guru harus mengajarkan 4 aspek penting: (1) Penguasaan tatabahasa, (2) Penulisan karangan, (3) Penulisan rumusan, dan (4) Penghayatan Komsas. Guru BM perlu memastikan bahawa semua aspek itu dikuasai pelajar melalui latihan yang berterusan. Oleh itu, guru perlu mengajarkan dan memeriksa latihan aspek-aspek tersebut pada setiap minggu. Perlu diingat bahawa guru BM tidak mengajar satu kelas sahaja, tetapi lazimnya mencapai tiga kelas. Dengan enam waktu seminggu bagi setiap kelas, guru BM mengajar sebanyak 18 waktu seminggu, dan mungkin di sekolah tertentu, ada tambahan mata pelajaran lain, seperti Sejarah atau Geografi, atau sekurang-kurangnya Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan Pendidikan Seni Visual. Sekiranya sebuah kelas itu mengandungi 30 orang pelajar, maka guru BM harus memeriksa 360 buah buku latihan yang melibatkan keempat-empat aspek bagi ketiga-tiga kelas tersebut pada setiap minggu. Untuk mengurangkan beban itu, mungkin ada guru BM yang mengurangkan latihan atau pemeriksaan latihan, tetapi akibatnya pelajar kekurangan latihan dan bimbingan.


iii. Tugas koakademik guru BM: Banyak aktiviti koakademik melibatkan bahasa. Oleh itu, yang terlibat ialah guru BM. Mereka perlu bertindak sebagai pembimbing atau jurulatih bagi aktiviti Forum Remaja, Bahas Ala Parlimen, pidato, pertandingan pantun, pertandingan deklamasi sajak, dan berbagai-bagai pertandingan yang muncul dari semasa ke semasa. Kemudian, guru itu perlu mengiringi pelajar ke tempat pertandingan sekiranya diadakan di sekolah lain. Jika menang di peringkat daerah, khidmat mereka perlu dilanjutkan ke peringkat negeri, dan kemudiannya ke peringkat kebangsaan pula. Terdapat juga guru BM yang dilantik sebagai hakim atau juri bagi pertandingan-pertandingan tersebut. Bergegaslah mereka ke sana dan ke sini sehingga musim pertandingan tersebut tamat.


Terdapat Jabatan Pelajaran Negeri yang tidak membenarkan pertandingan dibuat pada waktu persekolahan, terutamanya sebelah pagi. Paling awal waktu dibenarkan adalah pada pukul 10.00 atau 11.00. Jika tidak, pertandingan akan dilaksanakan selepas waktu persekolahan, lazimnya bermula 2.30 atau 3.00 petang. Kadang-kadang dibuat pada hari Sabtu.


Guru BM yang menjadi guru pengiring dan juri pertandingan tidak mendapat apa-apa habuan kerja lebih masa walaupun terpaksa sampai ke rumah lewat petang atau waktu malam kerana dianggap sedang menjalankan tugas rasmi. Sedangkan pada waktu mereka sedang bertugas itu, guru lain dapat berehat di rumah atau bersantai bersama keluarga di pantai, atau menjalankan aktiviti untuk menambahkan pendapatan.


Malangnya, pada hampir hujung bulan, guru BM dan guru lain mendapat gaji yang sama mengikut gred masing-masing. Lebih malang lagi bagi guru BM yang menjadi juri pertandingan, kerap menjadi mangsa tidak senang hati guru pembimbing yang menganggap mereka sepatutnya menang tetapi tidak dimenangkan oleh juri.


Selain itu, seringkali juga guru mata pelajaran lain meminta khidmat guru BM untuk menjayakan aktiviti mereka yang melibatkan aspek kebahasaan.


5. Dengan beban tugas yang luas dan amat berat itu, amatlah wajar guru BM diberi BISP. Guru yang menjadi pembimbing, pengiring dan juri bagi pertandingan koakademik juga wajar diberi ganjaran asas mengikut peringkat pertandingan yang melibatkan mereka.


6. Pemberian imbalan itu rasanya sesuai dengan konsep pentadbiran negara kita sekarang, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
.

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.