TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

EJAAN KATA PINJAMAN

KATA pinjaman, atau kata ambilan dan kata serapan, sama ada daripada bahasa Inggeris atau bahasa Eropah lain, diterima masuk ke dalam korpus bahasa Melayu dengan mementingkan bentuk ejaan atau visualnya.
.
Oleh hal yang demikian, penyesuaian huruf dilakukan sekiranya perlu. Penyesuaian tersebut boleh terdiri daripada pengekalan, penggantian, dan pengguguran huruf tertentu.
.
i. Pengekalan huruf
.
Hal ini bermakna bahawa ejaan asal dikekalkan.
  • atom
  • bank
  • diesel
  • hotel
  • neon
  • pistol
  • status
  • zoo
.
ii. Penggantian huruf
Beberapa huruf digantikan untuk disesuaikan dengan bunyi atau sebutan dalam bahasa Melayu. Beberapa contohnya seperti yang berikut.
1. c menjadi k
  • criteria - kriteria
  • vaccin - vaksin
  • republic - republik
2. y menjadi i
  • January - Januari
  • gravity - graviti
  • geology - geologi
3. g menjadi j
  • regime - rejim
  • magistrate - majsitret
  • contingent - kontinjen
4. ph menjadi f
  • graph - graf
  • photography - fotografi
  • telephone - telefon
5. ou menjadi au
  • accountant - akauntan
  • pound - paun
.
iii. Pengguguran huruf
Beberapa huruf tertentu tidak dikekalkan.
1. ch menjadi k
  • scheme - skim
  • cholera - kolera
  • monarchy - monarki
2. ce menjadi s
  • science - sains
  • ambulance - ambulans
  • insurance - insurans
3. uu menjadi u
  • vacuum - vakum
  • continuum - kontinum

HAL INI TERJADI DEMIKIAN...

SUATU ketika dahulu, kerap ditemukan pelajar menulis klausa yang berikut:
  • *Hal ini kerana dia sudah lupa.
Klausa tersebut jelas sekali tidak menepati konsep binaan ayat. Klausa itu mempunyai subjek, "Hal ini", tetapi malangnya tidak disertai predikat. Klausa "kerana dia sudah lupa" tidak boleh dianggap sebagai predikat oleh sebab dimulai oleh kata hubung musabab, kerana yang berfungsi sebagai keterangan sahaja. Keterangan itu boleh digugurkan. Jika digugurkan, unsur yang tinggal hanyalah "Hal ini." Bentuk demikian hanyalah frasa subjek, dan tidak dapat membentuk ayat. Predikat dianggap wujud sekiranya ada unsur inti, yang terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, atau frasa sendi nama.
.
Oleh itu, pelajar dan pengguna bahasa Melayu dinasihati agar mengubahsuai klausa tersebut menjadi seperti yang berikut:
  • Hal ini demikian kerana dia sudah lupa.
Perkataan demikian dianggap dapat menjadi predikat, manakala "kerana dia sudah lupa" kekal menjadi keterangan. Bentuk ini sudah tersebar luas beberapa lama.
.
Namun demikian, klausa "Hal ini demikian kerana dia sudah lupa" atau apa-apa klausa yang seperti itu, sudah tidak dapat lagi dipertahankan ketepatannya dari segi tatabahasa mulai 2008. Mulai tahun itu, buku tatabahasa pegangan, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga telah memperkenalkan "kata adverba" sebagai satu daripada kata tugas. Jenis kata tugas baharu ini terdapat pada halaman 289 hingga 295 buku tatabahasa itu. Satu daripada perkataan yang termasuk dalam kata adverba ialah demikian, yang dianggap sebagai kata adverba jati.
.
Oleh sebab itu, klausa "Hal ini demikian kerana dia sudah lupa" harus mengalami perubahan agar binaannya tepat. Untuk mewujudkan bentuk yang betul, satu frasa kerja dicadangkan diwujudkan selepas frasa "Hal ini" dan sebelum demikian. Frasa kerja yang sesuai ialah terjadi, atau berlaku, dikatakan atau perkataan lain yang sesuai dengan kehendak ayat yang dibina. Dengan perubahan itu, klausa tersebut seharusnya menjadi seperti yang berikut:
  • Hal ini terjadi demikian kerana dia sudah lupa.
  • Hal ini berlaku demikian kerana dia sudah lupa.
  • Hal ini dikatakan demikian kerana dia sudah lupa.
Perubahan seperti itu terjadi kerana mengikut keperluan semasa. Sebagai bahasa yang dinamik atau dapat berkembang, perubahan sedemikian perlu kita terima. Dengan cara yang demikian, bahasa Melayu akan sentiasa hidup.

DIBAYAR DI KAUNTER

FRASA dalam tajuk di atas, "dibayar di kaunter", menggunakan dua bentuk di yang berbeza. Yang pertama, di dirapatkan dengan perkataan yang mengikutinya, sebaliknya di yang kedua, dijarakkan daripada perkataan selepasnya. Hal ini menunjukkan bahawa peranan kedua-dua bentuk di itu berlainan.
.
Bentuk di yang pertama ialah imbuhan awalan. Sebagai imbuhan, di itu tidak boleh berdiri sendiri, lalu perlu disandarkan pada perkataan yang mengikutinya. Perhatikan contoh lain.
  • dijaga
  • dibina
  • ditarik
  • dikepal
  • disanjung
Bentuk di yang kedua pula berperanan sebagai kata sendi nama. Sebagai sendi nama, di ini dapat berdiri sendiri, dan tidak memerlukan pertolongan bentuk lain selepasnya. Perkataan yang mengikutinya terdiri daripada kata arah dan kata nama. Perhatikan contoh lain yang sama fungsinya.
  • di padang
  • di pejabat
  • di Terengganu
  • di tengah hutan
  • di belakang rumah
Oleh hal yang demikian, kita perlu mengenal pasti fungsi di sebelum mengeja sesuatu perkataan agar penggunaannya tepat.

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.