TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN DAN SUDI MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN.

TAHNIAH KEPADA SEMUA CALON STPM 2013 YANG MEMPEROLEH KEPUTUSAN CEMERLANG, KHUSUSNYA BAGI MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU (910)
-

YA ALLAH, RUNGKAIKAN TEKA-TEKI INI...

banner

BAHASA MELAYU MODEN - PENGENALAN RINGKAS

BAHASA Melayu (BM) moden merujuk bahasa yang digunakan pada abad ke-19 hingga sekarang. Bahasa ini berkembang selari dengan penguasaan negara Eropah di Asia Tenggara. Dalam tempoh ini, bahasa Eropah, bermula dengan bahasa Portugis, diikuti bahasa Belanda, dan kemudiannya bahasa Inggeris, bertapak di Nusantara, dan seterusnya mempengaruhi bahasa Melayu.

BM moden merupakan kesinambungan daripada bahasa Melayu klasik, tetapi bahasa ini menerima pengaruh bahasa Inggeris yang sangat kuat. Walaupun begitu, bahasa ini tidak menerima sistem pembentukan bahasa itu, dan tidak juga mengetepikan bahasa Sanskrit dan bahasa Arab yang diguna pakai sebelumnya.

BM menerima banyak istilah daripada bahasa Inggeris agar dapat mengungkapkan pelbagai ilmu baharu yang berkembang dari semasa ke semasa, kerana BM dan tamadun Melayu tidak mempunyai keupayaan dalam hal itu. Keupayaan BM moden menerima unsur asing menjadikan BM dinamik dan dapat meneruskan kelangsungan hayat.

BM moden tidak berkembang secara bersendirian seperti BM kuno dan BM klasik. Hal ini dikatakan demikian kerana BM moden mengalami perancangan oleh badan bahasa yang ditubuhkan khas, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, BM moden diberi status sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


Perkembangan BM Moden
Sebelum kemerdekaan, BM moden mengalami dua fasa perkembangan. Fasa pertama, iaitu sebelum Perang Dunia Kedua, BM moden mendapat kedudukan yang tinggi, ekoran daripada kecemerlangan sebelumnya. Walaupun British mentadbir Tanah Melayu, pegawainya dikehendaki mempelajari BM dan lulus dalam ujian bahasa itu agar dapat berhubung dengan penduduk tempatan dengan mudahnya. Tidak hairanlah apabila banyak pegawai tinggi British, seperti Winstedt, Wilkinson, Brown, Maxwell, Marsden, Dussek, Shellabear, dan Skinner, dapat menguasai bahasa Melayu dengan cemerlang.

Namun demikian, selepas Perang Dunia Kedua, British mengubah dasarnya dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan. Orang yang dapat berbahasa Inggeris diberi keutamaan untuk bekerja dengan orang Inggeris. Kesannya, ramai pelajar Melayu diberi pendidikan Inggeris dan dihantar berkursus di England, dan menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan seharian. Hal itu terjadi kerana orang yang dapat berbahasa Inggeris dianggap orang yang bijak dan bertaraf tinggi.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, status BM dikembalikan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan BM sebagai bahasa kebangsaan dan perlu digunakan dalam sebarang urusan rasmi. BM juga dijadikan bahasa pengantar pendidikan dari peringkat sekolah rendah hinggalah peringkat universiti. Hal ini diperkukuh dengan penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Selain institusi pendidikan, BM juga diperkasa dengan baiknya dalam perbicaraan di semua mahkamah, dan persidangan Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat, dan Dewan Negara.

Sungguhpun demikian, setelah hampir setengah abad di puncak kegemilangan, BM diancam oleh pengenalan Akta Pendidikan 1995 yang membenarkan bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Teknikal di pusat pengajian tinggi awam. Hal yang sama dilaksanakan di peringkat sekolah apabila diperkenalkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2003.

0 ulasan:

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: imi6911683@yahoo.com, atau saimimsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.