TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

PELAJAR YANG SERONOK!

"PELAJAR berhak mendapat keseronokan dalam proses pembelajaran mereka," kata Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong, dalam pertemuan dengan Pengetua dan Guru SPM dan STPM Peringkat Daerah Dungun di Sekolah Menengah Sains Dungun, pada 15 Oktober 2009 (Khamis), pukul 2.30 petang.
.
2. Menurutnya, guru harus melakukan apa-apa sahaja yang wajar agar dapat menyeronokkan pelajar dalam pembelajaran mereka, yang membolehkan mereka terus selesa belajar dan ingin terus belajar. Tambahnya lagi, guru harus rasa bersalah sekiranya pelajar tidak memperoleh keseronokan.
.
3. Perkataan "seronok" itu mungkin ada perkaitan dengan perkataan "menarik" yang selalu digunakan dalam buku pedagogi tentang kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Sekiranya pengajaran guru menarik, atau pelajar tertarik dengan pengajaran guru, maka pelajar pun seronok.
.
4. Apabila pelajar seronok belajar, guru juga semakin seronok mengajar. Letih lelah guru akan terubat apabila pelajar ingin belajar dan menunjukkan keseronokan mereka ketika mengikuti pelajaran. Lazimnya, guru tetap akan seronok menyampaikan pengajaran walaupun ada pelajarnya yang tidak seronok belajar. Guru tetap mengajar. Sekiranya guru tidak mengajar, guru akan dikatakan makan gaji buta atau tidak mempunyai komitmen dalam melaksanakan tugas hakiki mereka. Dalam keadaan tetap melaksanakan tugas walaupun menghadapi pelbagai masalah dari banyak penjuru, guru masih lagi diserang oleh pihak yang tidak berpuas hati.
.
5. Segelintir pelajar sekarang memang tidak seronok apabila disuruh melakukan tugas sebagai pelajar. Mereka seronok apabila kerja sekolah tidak disiapkan. Mereka seronok menghilangkan diri atau datang lewat apabila disuruh menghadiri perhimpunan mingguan dan harian. Masa yang sepatutnya mereka berada di dalam bilik darjah, mereka seronok meronda ke tempat lain. Terdapat juga pelajar yang seronok meninggalkan kawasan sekolah dengan melompat pagar pada waktu persekolahan, dan kemudiannya seronok kembali melompat pagar ke kawasan sekolah. Mereka seronok membiarkan ekor baju terjuih keluar daripada seluar, dan mereka makin seronok apabila cikgu menegur mereka supaya membetulkan keadaan baju itu, mereka mematuhinya sebentar, namun sebaik sahaja guru berlalu, ekor baju itu dijuihkan kembali.
.
6. Dalam situasi ini, sekiranya mahu pelajar demikian terus seronok, guru perlu mengajarkan hal yang dapat menyeronokkan mereka. Yang malangnya, hal yang menyeronokkan segelintir pelajar ini tidak terdapat dalam sukatan pelajaran dan bertentangan dengan disiplin sekolah.
.
7. Pelajar yang tidak seronok belajar ini sukar ditangani. Sekiranya ditegur dan dikenakan tindakan, ada tindakan balas yang dibuat mereka, dan lebih parah apabila tindakan mereka mendapat restu ibu bapa, termasuk ahli masyarakat tertentu. Jika tidak ditegur, gelagat mereka mengganggu emosi guru dan pelajar lain, malahan dengan tidak menegur mereka, guru dianggap telah melanggar etika keguruan. Benarlah, menjadi guru seperti berada di persimpangan yang berbahaya. Ditegur salah, tidak ditegur pun salah.
.
8. Pelajar yang sedemikian juga, lebih seronok berkumpul dengan kumpulan yang sehati sejiwa, melepak di tempat tertentu, dan mengusik orang yang lalu. Mengusik dan mengenakan orang lain ialah keseronokan yang tiada taranya bagi mereka, tetapi keseronokan mereka itu jika terhalang, seronoklah mereka bertindak balas!
.
9. Memang ramai juga pelajar yang ingin belajar dan seronok di sekolah. Golongan inilah yang ingin dididik dengan sempurna oleh guru. Namun demikian, dengan wujudnya golongan yang tidak seronok belajar itu, keseronokan golongan yang seronok belajar akan terjejas. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
.
10. Oleh hal yang demikian, golongan yang tidak seronok belajar ini sepatutnya tidak dibiarkan berada dalam kawasan sekolah. Biarlah mereka meraikan keseronokan mereka dengan cara mereka di luar sekolah. Kementerian Pelajaran harus membebaskan mereka atau tidak memaksa mereka agar menikmati rasa tidak seronok di sekolah. Jika mereka tidak mahu berhenti sendiri, tidak wajarkah kita berhentikan mereka? Jangan tunggu sehingga sampai satu tahap kritikal apabila guru pula merasakan tidak seronok mengajar!
.

PELAJAR SAINS SESUAI AMBIL MATA PELAJARAN KESUSASTERAAN

KELMARIN, Berita Harian (22 Oktober 2009) melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mata pelajaran Sastera kembali diajarkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menurutnya, pengajaran mata pelajaran itu pernah dilaksanakan di SBP sebelum ini.
.
2. Cadangan tersebut mempunyai asas yang kuat untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran. Tidak aneh bagi pelajar aliran Sains mengambil mata pelajaran dalam aliran Kemanusiaan. Unsur dalam subjek Sastera sebenarnya memberi banyak imbangan nilai murni kepada pelajar.
.
3. Selama ini, Sastera hanya diambil oleh pelajar aliran Kemanusiaan. Di sekolah harian biasa, banyak sekolah meletakkan mata pelajaran ini diambil oleh pelajar sederhana, malahan terdapat sekolah yang menetapkan subjek ini diambil oleh pelajar kelas belakang atau lemah. Hal sedemikian tidak wajar, malahan tidak tepat. Mata pelajaran Sastera bukan mata pelajaran yang mudah. Pelajar perlu rajin membaca dan harus bijak membuat tafsiran unsur cerita dan unsur sasteranya. Pelajar berpencapaian sederhana, lebih-lebih lagi yang lemah, didapati tidak dapat menghayati cerita dan unsur sastera dengan baik, menyebabkan ramai yang gagal. Pelajar kumpulan ini kurang gemar membaca berbanding dengan pelajar yang cerdik, yang kebanyakannya mengikuti aliran Sains.
.
4. Sekiranya dibenarkan pelajar aliran Sains mengambil Sastera, mata pelajaran ini akan dapat dipopularkan. Guru yang mengajarkan mata pelajaran ini juga seharusnya bukan guru Bahasa Melayu, tetapi sebaik-baiknya guru yang cemerlang atau mengkhusus dalam Sastera ketika di universiti atau semasa mengikuti kursus perguruan. Guru yang tidak mempunyai ilmu kesusasteraan yang tinggi dapat menyebabkan mata pelajaran ini hambar dalam kalangan pelajar. Akibatnya, banyak sekolah sudah melupakan mata pelajaran Sastera di peringkat SPM, dan sudah lama mengetepikannya pada peringkat STPM. Sastera masih hidup secara "kurang bertenaga" di sekolah hanya kerana kewujudan Kompenan Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
.
5. Banyak nilai murni tersurat dan tersirat dalam karya sastera. Bahasanya yang indah, pengemukaan mesej secara bercerita, pengajaran yang secara tidak langsung, serta menuntut pelajar mencari dasar pemikirannya, merupakan elemen-elemen penting untuk memperkuat daya kreatif pelajar. Oleh itu, sekiranya pelajar Sains mengambil mata pelajaran ini, mereka dapat mengimbangkan diri dengan menggabung jalin fakta dalam Sains dengan keindahan dan seni dalam Sastera. Dengan yang demikian, pelajar ini akan menjadi pelajar yang hebat.
.

BUDAYA MENULIS CATATAN

SEMASA Perhimpunan Mingguan, Ahad, 27 September 2009 lalu, Pengetua Kanan SMK Sultan Omar, Dungun, Encik Abdul Rahman bin Husin menyarankan agar pelajar mempunyai buku catatan dan membawa buku itu ketika menghadiri perhimpunan. Menurutnya, buku catatan sangat penting dibawa ke majlis perhimpunan kerana banyak maklumat dan pandangan dikemukakan oleh guru ketika itu. Menurut beliau lagi, tanpa mencatat maklumat tersebut, kita mungkin terlupa dan tidak dapat dijadikan rujukan.


2. Saranan tersebut wajar diberikan perhatian. Buku catatan harus menjadi rakan akrab kita ke mana-mana sahaja kita pergi, apatah lagi dalam majlis ilmu. Ketika mendengar tazkirah di masjid atau di surau juga, elok bagi kita jika membuat catatan.


3. Dengan adanya buku tersebut, kita tidak terkial-kial mencari cebisan kertas untuk mencatat sesuatu yang mustahak yang tiba-tiba kita dapati, seperti nombor telefon baharu rakan kita, alamat, waktu, dan sebagainya. Individu yang ingin menjadi penulis harus mengamalkan tabiat ini. Bawalah sebuah buku kecil di dalam poket seluar dengan sebatang pen pendek.


4. Budaya mencatat memberi kita banyak faedah. Tanpa catatan, sesuatu maklumat atau peristiwa tidak akan kekal lama dalam perhatian dan ingatan kita, dan tidak diketahui oleh orang terkemudian. Kita dapati, orang Barat dan orang dari negara China pada zaman dahulu, apabila mereka mengembara, mereka tidak lupa untuk mencatat hal yang mereka lihat dan alami. Catatan mereka kemudiannya menjadi bahan rujukan atau jurnal yang sangat berguna pada kemudian hari. Hal mengenai Asia Tenggara, termasuk hal negara kita sendiri, umpamanya, diketahui melalui beberapa buah jurnal atau buku catatan daripada orang-orang berkenaan. I-Tsing, umpamanya, mencatat hal bahasa yang digunakan oleh orang-orang di Nusantara pada abad ke-6 Masihi. Catatannya itu kini digunakan untuk mengkaji bahasa dan nama awal negeri dan pulau di Nusantara. Saya sangat yakin bahawa kita tidak mengetahui sejarah nenek moyang kita sekiranya tiada catatan yang ditinggalkan oleh golongan pengembara tersebut.


5. Pelajar yang baik dalam karangan lazimnya terdiri daripada pelajar yang suka menulis catatan. Dengan menulis catatan harian atau diari, misalnya, membolehkan pelajar menguasai cara memperluas ayat dan maklumat. Penulis kreatif yang terkenal pada hari ini juga kebanyakannya orang yang suka menulis catatan harian, malahan catatan itu menjadi bahan rujukan yang amat berguna bagi mereka untuk menggarap karya


6. Anda boleh memulakan tabiat suka mencatat sesuatu ini dengan menulis diari. Paksa diri anda menulis catatan pada setiap hari, sekurang-kurangnya lima atau enam ayat. Catatlah apa-apa yang menarik perhatian anda pada hari itu, seperti peristiwa yang anda lihat, hal yang terjadi ke atas diri anda sendiri, tayangan menarik di televisyen, dan sebagainya. Dengan cara demikian, selain semata-mata mencatat sesuatu, secara tidak langsung anda mengasah minda anda untuk memberi ulasan atau pandangan. Kalau anda mampu menulis sehalaman pada setiap hari, anda memang hebat!
.

BERBICARALAH DENGAN SOPAN...

BERBUDI bahasa bermaksud berbahasa dan bertingkah laku dengan sopan. Pada masa dahulu, budi bahasa menjadi syarat atau kriteria penting dalam pemilihan sesuatu, termasuk dalam hal memilih menantu, kerana berbudi bahasa menjadi lambang positif dan ketulusan seseorang.


2. Manifestasi kepentingan budi bahasa terlihat dalam penggunaan frasa yang dikenali sebagai kesantunan berbahasa. Misalnya, frasa “buang air” digunakan untuk menggantikan perkataan “berak” atau “kencing” sebagai tanda kehalusan. Penggunaan bentuk ‘berlapik’ tersebut dapat mengelakkan rasa tersinggung dan jijik. Demikian juga rangkai kata “meninggal dunia” atau “pulang ke rahmatullah” digunakan bagi menggantikan “mati”. Perempuan yang sedang mengandung juga diberi perkataan lain, “berbadan dua”, sedangkan perkataan “mengandung” itu tidaklah kasar atau memalukan seseorang sekiranya hal itu terjadi dengan keadaan yang sepatutnya.


3. Nenek moyang kita dahulu mencipta peribahasa untuk tujuan yang sama. Peribahasa dapat melembutkan bicara walaupun maknanya kadang-kadang keras. Contohnya, “melepaskan anjing tersepit” ditujukan kepada orang yang tidak mengenang jasa orang yang pernah menolongnya. Selain itu, “kaki bangku” dikiaskan kepada seseorang yang tidak tahu bermain bola. Sekiranya hal itu dikatakan terus-terang kepada orang itu, pasti dia akan malu dan marah.


4. Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa berbahasa dengan sopan. Secara amnya, kebanyakan kita sudah tersasar daripada budi bahasa. Apabila bercakap, segelintir remaja, kebanyakannya pelajar, gemar menggunakan perkataan “bodoh” dan “gila” kepada rakan. Walaupun penggunaan perkataan sedemikian sudah biasa bagi pihak tersebut, dan masing-masing tidak ambil hati, penggunaan tersebut tidak wajar diamalkan. Hal yang demikianlah memaksa kerajaan menjalankan Kempen Berbudi Bahasa dan Nilai Murni pada tahun 2005.
.

UNSUR BAHASA ASING DALAM BAHASA MELAYU

UNSUR asing dalam bahasa Melayu wujud melalui proses pengambilan atau peminjaman daripada bahasa-bahasa lain, iaitu bahasa yang lebih maju dalam tamadun yang lebih tinggi. Hal demikian terjadi apabila berlaku pertembungan dengan tamadun tersebut.

BAHASA MELAYU MODEN - PERANCANGAN

SATU daripada ciri utama bahasa Melayu moden ialah bahasa itu memiliki pelbagai laras, jauh lebih banyak daripada laras yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik. Wujudnya banyak laras itu, selain disebabkan perkembangan bahasa, turut ada kaitan dengan perancangan yang dijalankan.

BAHASA MELAYU MODEN - SUMBANGAN TOKOH & PERTUBUHAN

USAHA meninggikan martabat bahasa Melayu dijalankan oleh beberapa individu dan pertubuhan tertentu. Hal ini dibantu oleh perkembangan kesusasteraan Melayu yang sangat menyerlah, diterajui oleh cerdik pandai lulusan sekolah Melayu dan Arab.

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.