Halaman

BEBERAPA ISTILAH BAHARU

PADA tahun ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengeluarkan beberapa istilah baharu yang diterjemah daripada bahasa Inggeris dan bahasa Eropah lain. Hal ini telah tersebar dalam pelbagai media sosial. Banyak pihak telah pun menggunakan beberapa istilah tertentu itu. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa Melayu yang berhemah mungkin belum menggunakannya kerana masih sangsi tentang kesahihan istilah tersebut sama ada sudah diiktiraf DBP atau belum diluluskan. Hal itu terjadi kerana DBP tidak menyebarkannya kepada umum secara terus terang melalui media, atau menyebarkannya melalui cetakan. Carian dalam portal rasmi DBP pun tidak ditemukan penghebahan istilah-istilah baharu itu.


Sejak bulan Julai, majalah terbitan DBP, khususnya Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, dan Dewan Masyarakat didapati telah menyiarkan beberapa istilah dalam ruangan "Istilah Semasa". Istilah-istilah lain yang difahamkan jumlahnya lebih daripada 100 itu dijangka akan disiarkan dalam majalah-majalah berkenaan dari semasa ke semasa. Dermaga BM STPM memetik beberapa istilah yang sering mendapat perhatian sahaja untuk pengetahuan dan penggunaan pengunjung laman ini.


BIDANG FOTOGRAFI:

Istilah
Terjemahan daripada
Maksud
swafoto
selfie
Mengambil gambar diri dengan usaha sendiri (berseorangan)
swafoto berkumpulan
groufie
Mengambil gambar ramai dengan usaha sendiri secara berkumpulan (tiga orang atau lebih)
swafoto bersama
wefie
Mengambil gambar ramai dengan usaha sendiri (dua orang atau lebih)
swafoto maut
killfie
Mengambil gambar diri sendiri di tempat yang berbahaya yang dapat mendatangkan kematian
tunafoto
photobomb
Gambar yang terganggu atau rosak semasa diambil


BIDANG TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI:

Istilah
Terjemahan daripada
Maksud
e-panggilan
e-hailing
Proses menempah atau memesan teksi atau pengangkutan awam lain menggunakan komputer atau peranti bergerak
hantaran
posting
Teks, imej, video atau audio yang dimuat naik ke ruang maya
sohor kini
trending
Sesuatu yang popular yang dibincangkan dalam Internet
tular
viral
Keadaan sesuatu yang merebak atau beredar dengan cepat menerusi alam maya
tanda pagar
hashtag
Tanda # yang digunakan dalam media sosial untuk menerangkan kata kunci atau topik perbincangan


3 ulasan: