Halaman

ESEI BERFORMAT: MENGAPAKAH TIDAK BOLEH KURANG DARIPADA LAPAN?

TAHUN 2019 nanti merupakan tahun ketujuh pelaksanaan sistem baharu STPM yang dibahagikan kepada tiga penggal, dan mulai tahun ini dikenali sebagai "semester". Perubahan sukatan pelajaran yang asalnya dijangka pada tahun ini (2018) tidak dapat dilaksanakan, dan diharapkan oleh guru agar menjadi kenyataan pada tahun 2019. 


Ketika membuka helaian Manual Pelaksanaan Kerja Kursus Bahasa Melayu Semester 2 bagi tahun 2019 melalui portal rasmi MPM, harapan sangat besar agar ada sedikit perubahan yang dapat melegakan beban yang ditanggung oleh guru Bahasa Melayu STPM. Malangnya, harapan itu tinggal harapan! Guru Bahasa Melayu masih perlu memeriksa kertas ujian Kerja Kursus Esei Berformat seperti biasa, iaitu lapan esei dan ulangannya.

Selama ini banyak guru Bahasa Melayu yang mengharapkan MPM memberi "belas kasihan" kepada mereka. Guru mata pelajaran lain hanya melaksanakan satu kerja kursus. Sekiranya kerja kursus itu dilaksanakan pada Semester 2, mereka akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran pada Semester 3, atau sekiranya kerja kursus dilaksanakan pada Semester 3, mereka agak lega pada semester sebelumnya. Tidak demikian bagi guru Bahasa Melayu, kerana terpaksa menghadapi kerja kursus pada Semester 2 dan Semester 3. Belum lagi selesai menghantar markah untuk Semester 2, mereka sudah dipanggil untuk mengikuti taklimat pelaksanaan kerja kursus Semester 3. Pendek kata, mereka tidak dapat bernafas lega langsung!

Guru Bahasa Melayu mungkin tidak berharap agar kerja kursus Semester 2 digugurkan langsung. Mereka cuma berharap supaya jumlah esei yang diuji dalam kerja kursus Semester 2 dikurangkan daripada lapan esei kepada lima atau enam esei sahaja. 

Kita dapati esei syarahan, ceramah dan teks ucapan memperlihatkan persamaan format dan kaedah penulisannya. Yang berbeza mungkin tujuan penggunaan. Guru mungkin perlu mengajarkan kaedah penulisan untuk ketiga-tiga esei tersebut, tetapi untuk tujuan pengujian, guru boleh menguji satu daripadanya. Guru mungkin boleh memilih mana-mana satu esei untuk dijadikan ujian. Bagi guru yang rajin, mungkin beliau boleh menyediakan soalan untuk ketiga-tiga format, tetapi pelajar memilih satu daripadanya.

Selain itu, satu esei lain yang tidak mempunyai kepentingan yang tinggi kepada pelajar selepas keluar dari alam persekolahan boleh juga dipertimbangkan untuk digugurkan. Penulisan memorandum umpamanya, secara umumnya tidak mempunyai kepentingan semua orang. 

Penerapan lapan esei sebenarnya banyak menyusahkan guru dalam tempoh empat bulan. Pembelajaran tentang setiap format tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana guru mengejar waktu untuk pengujian bagi setiap format. Penulisan ulangan juga tidak dapat memantapkan keupayaan pelajar kerana dibuat semata-mata untuk membolehkan pelajar mendapatkan markah yang lebih baik. 

Oleh itu, pihak berkuasa di MPM wajar mempertimbangkan hal ini, supaya dapat memberi ruang yang lebih banyak untuk pengajaran tatabahasa yang juga luas skopnya dan sukar difahami oleh kebanyakan pelajar. 

2 ulasan: