TERIMA KASIH KERANA MELAYARI DERMAGA BM STPM --- MOGA-MOGA MEMPEROLEH MANFAAT - ANDA DIIZINKAN UNTUK MEMUAT TURUN DOKUMEN [KEBANYAKANNA DALAM FORMAT PDF] YANG DIINGINI ... SEBELUM ITU, SILALAH MENDAFTAR SEBAGAI AHLI/RAKAN TINGKATAN ENAM - LALUAN PALING MURAH DAN PALING MUDAH KE UNIVERSITI AWAM - PASTINYA ANDA TIDAK INGIN KETINGGALAN DAN KERUGIAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA 2023: "MALAYSIA MADANI: TEKAD PERPADUAN, PENUHI HARAPAN"

PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN PADA PAPAN TANDA PERNIAGAAN DI BANDAR DUNGUN

ENAM orang pelajar Tingkatan Enam Atas (2010)[1] dari SMK Sultan Omar, Dungun, Terengganu telah melakukan satu tinjauan ringkas tentang tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan nama pusat perniagaan yang terdapat di dua kawasan perniagaan di Dungun. Kawasan-kawasan tersebut ialah kawasan perniagaan baharu di Sura Gate, dan kawasan perniagaan lama di Kuala Dungun. Kedua-duanya terletak dalam lingkungan tidak lebih daripada dua kilometer.

KEDUDUKAN BAHASA KEBANGSAAN

Sejumlah 135 nama pusat perniagaan - dari yang kecil seperti warung makanan hinggalah yang besar seperti pasar raya - dikumpulkan di kedua-dua kawasan itu. Daripada data yang  dikumpulkan itu, pelajar-pelajar berkenaan mendapati bahawa wujud tiga keadaan tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pemilik pusat perniagaan. Keadaan yang pertama ialah bahasa kebangsaan digunakan, tetapi terdapat penggunaan yang betul dan yang salah. Yang kedua ialah hal sebaliknya, iaitu bahasa kebangsaan tidak digunakan langsung, diambil alih oleh bahasa Inggeris. Keadaan ketiga ialah penggunaan bahasa bercampur, iaitu bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris. Dengan hal yang demikian, data tersebut diasingkan mengikut empat aspek utama, iaitu penggunaan bahasa yang betul, penggunaan bahasa yang salah, penggunaan campuran kod, dan penggunaan bahasa Ingggeris sepenuhnya.


Penggunaan bahasa yang tepat ialah yang menepati ciri pengejaan dan binaan frasa. Penggunaan ejaan yang betul ialah yang mengikut Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu Bahasa Malaysia yang berkuat kuasa mulai tahun 1972. Binaan frasa yang betul pula bermaksud binaan yang mengikut Hukum D-M, iaitu perkataan pertama ialah inti atau unsur yang diterangkan, dan perkataan yang berikutnya merupakan penerang atau unsur yang menerangkan, melainkan yang melibatkan kecualian peraturan D-M.[2]

Penggunaan bahasa yang salah ialah penggunaan yang menyimpang daripada peraturan ejaan dan binaan frasa bahasa kebangsaan. Ejaan yang digunakan tidak mematuhi Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia, khususnya bagi yang melibatkan sistem keselarasan huruf vokal. Frasa yang salah ialah yang tidak mengikut Hukum D-M melainkan yang melibatkan kecualian bagi hukum tersebut. Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya ialah yang mengambil seluruhnya perkataan daripada bahasa Inggeris yang belum diterima dan disahkan penggunaannya oleh Jawatankuasa Istilah, sama ada dari segi ejaan asal daripada bahasa sumber itu atau ejaan yang diubahsuai, serta penggunaan frasa mengikut peraturan bahasa sumber tersebut.

Penggunaan bahasa bercampur atau campuran kod pula bermaksud terjadinya campuran perkataan asli bahasa Melayu atau perkataan daripada bahasa lain yang telah diterima pakai dalam bahasa Melayu mengikut ketetapan yang dibuat oleh Jawatankuasa Istilah yang diwujudkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan perkataan daripada bahasa lain, khususnya bahasa Eropah, yang belum diterima atau disahkan oleh Jawatankuasa Istilah tersebut.


Penggunaan Bahasa yang Tepat

Daripada 135 dapatan, didapati 37 buah pusat perniagaan menggunakan bahasa yang tepat. Nama-nama kedai tersebut ialah:

1.      Galeri Tudung
2.      Kedai Alat Solek & Alat Jahitan Yen Yun
3.      Kedai Barangan Elektrik
4.      Kedai Cermin Tan
5.      Kedai Emas Ariffin
6.      Kedai Emas CYS (Cawangan)
7.      Kedai Emas Kwang Yao
8.      Kedai Emas Ming
9.      Kedai Emas Wah Heng
10.    Kedai Emas Waja
11.    Kedai Gambar Hollywood
12.    Kedai Gunting Rambut
13.    Kedai Jam Kwam Ming
14.    Kedai Kain Wan
15.    Kedai Kasut Bee Bee
16.    Kedai Kek dan Roti Sweden
17.    Klinik Sura Gate
18.    Megah Berkat Sdn. Bhd.
19.    Nirwana Maju Sdn. Bhd.

20.      Optik Wangsa
21.   Perniagaan Daya Bumi
22. Perniagaan Joon
23. Perniagaan Komunikasi CKC
24. Perniagaan Win Fatt
25. Pusat Jahitan Anda
26. Pusat Jualan Leno
27. Pusat Kecantikan Nini
28. Pusat Latihan Komputer Belta
29. Pusat Tutorial Reesha
30. Pustaka Seri Intan
31. Restoran KFC
32. Restoran Lian Fong Yuen
33. Sendayu Tinggi
34. Seriwali Sdn. Bhd.
35. Syarikat Eng Hin
36. Syarikat Stereo
37. Syarikat Wong Fok Ming


Penggunaan Bahasa yang Salah

Daripada 135 dapatan, terdapat 14 penggunaan yang tidak menepati peraturan bahasa dari aspek ejaan dan binaan frasa. Penggunaan yang salah mengikut jenis kesalahan adalah seperti yang berikut:

Kesalahan Ejaan

1.  Kedai Perabut SPS
2.  Pasaraya Aneka
3.  Pasaraya Ku
4.  Pasaraya You Hoe
5.  Syarikat Perabut Shanghai
6.  Warong Aisyah


Kesalahan Ejaan dan Frasa

1.  Emaskraf Harum

Kesalahan Frasa

1.  Choo Yik Sin Kedai Buku dan Surat Khabar
2.  Cik Aisyah Kedai Rempah
3.  Dungun Kopitiam
4.  Ennie Tukang Jahit
5.  Juliana Butik & Aksesori
6.  Nara Tomyam Dungun
7.  Takaful Ikhlas Fitrah Agensi

           
Ejaan “perabut” salah kerana perkataan itu dipinjam daripada bahasa Indonesia yang tidak tertakluk kepada pola keselarasan vokal bahasa Melayu, maka sepatutnya diejakan “perabot” seperti ejaan asalnya. Sebagai kata majmuk yang dieja secara terpisah, perkataan “pasaraya” sepatutnya diejakan “pasar raya”. Perkataan “warong” seharusnya diejakan “warung” kerana bentuk ini terikat dengan ejaan pola keselarasan huruf vokal bahasa Melayu.

Tujuh kesalahan frasa terjadi kerana pengguna bahasa meletakkan unsur menerangkan (M) di hadapan, sedangkan mengikut peraturan binaan frasa dalam bahasa kebangsaan, unsur yang diterangkan (D) hendaklah didahulukan, sebagaimana yang ditetapkan oleh Hukum D-M. Oleh itu, bahagian yang bergaris sepatutnya diletakkan di hadapan sekali.
            
Perkataan “Emaskraf” mengalami dua kesalahan serentak. Pertama, kesalahan ejaan, kerana sepatutnya perkataan itu diejakan secara terpisah, iaitu “Emas Kraf”. Kedua, dari segi frasa, bentuk “Emas Kraf” itu masih salah kerana perkataan “Kraf” merupakan hal yang diterangkan, maka perlu diletakkan di hadapan, iaitu “Kraf Emas”.


Penggunaan Bahasa Bercampur

Selain itu, 23 keping papan tanda menggunakan bahasa kebangsaan yang bercampur dengan bahasa Inggeris. Percampuran ini melibatkan penggunaan ejaan dan binaan frasa mengikut sistem bahasa Inggeris, suatu ciri yang tidak digunakan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang bercampur dengan bahasa Inggeris adalah seperti yang berikut:

1.      Agensi Pelancongan Miracle Journey Network Sdn. Bhd.
2.      Dona Trading Sdn. Bhd.
3.      Gah Ria Enterprise Peralatan Memancing
4.      Howah Mobile Service
5.      Jose Penjual & Servis
6.      Kasturi Sports Centre Sdn Bhd
7.      Kedai Alat Telekomunikasi Zamain Dunter Enterprise
8.      Kedai Cat Jotun Multicolour Pengkalan Hardware Trading
9.      Kedai Peralatan Telekomunikasi Technic Point Communication
10.    Kedai Ubat Ban Choon Chea Medical Hall
11.    Mitra Valuers & Property Consultant Sdn Bhd
12.    Perabot Ching Furniture
13.    Perniagaan Rock Fashion
14.    Pok Eng Tin Enterprise Sdn. Bhd.
15.    Pure Technology Solution Sdn Bhd
16.    Pusat Cenderamata Smart CC Sdn Bhd
17.    Pusat Jualan dan Servis Komputer
18.    Pusat Jubin Prestige
19.    Pusat Komputer MSH Tech Enterprise
20.    Pusat Persolekan Prime Beauty Therapy Centre
21.    Syarikat Dungun Aluminium Trading
22.    Tukang Jahit Unisex Modern
23.    Wakil Insurans Syarikat Seng Huat Motor Trading


Penggunaan Bahasa Inggeris Sepenuhnya

Sejumlah 67 penjenamaan didapati menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, termasuk dari segi ejaan dan binaan frasa, seperti yang berikut.

1.      AA Indah Maju Enterprise
2.      Aida Zack Enterprise
3.      An Refrigeration & Electrical Service
4.      Azax Design
5.      Aziela Fashion
6.      Azmiera Boutique Collection
7.      BPD Enterprise
8.      Chin Hin Trading
9.      CK Motorsport Accessories And Services
10.   Click Surf Cafe
11.   Convert Apperal Shop
12.   DMA Boutique Collection
13.   Dona Trading Sdn. Bhd.
14.   Dungun Insurance Agency
15.   Dungun Optometry Centre
16.   Era Nona Ent.
17.   Etiqa Cipta Tuah Agency
18.   EU Gemilang Enterprise
19.   Fei Yi Trading
20.   Grace Computer & Communications
21.   Haziq Enterprise
22.   Hew Foong Hardware
23.   House Of Healin
24.   Howah Mobile Service
25.   I-Management
26.   Insa Jaya Agency
27.   Insujaya Agency
28.   J.J. Enterprise
29.   Jose Jaya Enterprise
30.   Lan Cushion Studio
31.   M. Idris Enterprise
32.   Ma Thai Enterprise Trading
33.   Mainstech Computer
34.   Mesra Indah Collection

35.   Mitra Valuers & Property Consultant Sdn Bhd
36.   My Boutique
37.   New Star Enterprise
38.   Pesona Trading
39.   Pizzahut
40.   Pujangga Sa’ba Learning Centre
41.   Pure Technology Solution Sdn Bhd
42.   Ros De Cleopatra
43.   Sara Fesyen N Collection
44.   Shell Gas
45.   Sinaran Refrigeration Service
46.   Sky Net Ent.
47.   Sri Dungun Enterprise
48.   Sri Gate Photo
49.   Sri Jaya Hardware Trading
50.   Sri Nang Trading
51.   Star Sports & Jeans
52.   Sura Gate Baby Centre
53.   Syahdilla Enterprise
54.   Tee Off Communication
55.   Tee Off Communication
56.   Trinergy Enterprise
57.   Tropicana Mobile Centre
58.   Tuah Sport Centre
59.   UPC Computer Centre
60.   W.I. Bistari Enterprise
61.   Wadi Agency
62.   Wan Sha Collection
63.   Wei Hin Hardware
64.   Wong Fok Ming Hardware
65.   Xcom Centre
66.   Yonex C.T. Sport
67.   Z.I. Damai Maju Enterprise


RUMUSAN

DARIPADA dapatan kajian ini, dapatlah dirumuskan secara umum bahawa status penggunaan bahasa kebangsaan berada dalam keadaan yang berikut:

Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan adalah Agak Baik

Dari sudut penggunaan bahasa kebangsaan, jumlah kesalahan yang sangat kecil berbanding dengan jumlah penggunaan yang betul menunjukkan bahawa masyarakat telah dapat menguasai aspek penggunaan bahasa dengan baik. Kesalahan yang terjadi melibatkan ejaan didapati disebabkan oleh pengguna tidak menguasai sistem ejaan Rumi baharu. Kesalahan penggunaan frasa wujud daripada ketidakfahaman tentang cara binaan frasa nama yang betul mengikut sistem bahasa Melayu yang berdasarkan Hukum D-M. Oleh itu, frasa yang digunakan dipengaruhi oleh bentuk bahasa Inggeris.


Kecenderungan untuk Tidak Menggunakan Bahasa Kebangsaan

Jumlah penggunaan bentuk bercampur atau percampuran kod dan bentuk bahasa Inggeris sepenuhnya yang sangat tinggi menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi terpengaruh dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian. Kecenderungan ini merupakan sikap yang tidak baik untuk perkembangan bahasa kebangsaan. Hal ini berlaku mungkin disebabkan aliran pendidikan yang diterima adalah dalam bahasa kedua, di samping kerana bahasa kebangsaan tidak menjadi bahasa komunikasi dalam keluarga dan tugasan harian.


CADANGAN

UNTUK meningkatkan penggunaan dan mutu bahasa kebangsaan, beberapa tindakan perlu dilakukan. Hal ini melibatkan penelitian dan kecaknaan yang tinggi pihak berkuasa tempatan yang meluluskan penamaan sesuatu premis perniagaan dan membenarkan nama itu dipamerkan kepada masyarakat.
Pertama, pihak berkuasa tempatan perlu menasihati pemilik agar menamakan premis masing-masing menggunakan bahasa kebangsaan. Sangat perlu pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakan peraturan bahawa sekiranya nama premis tidak menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya, pendaftaran premis tersebut tidak diluluskan.
Kedua, pihak berkuasa tempatan juga harus meneliti penggunaan bahasa kebangsaan supaya mematuhi peraturan ejaan yang berkuat kuasa semasa penilaian itu dilakukan, dan memastikan penggunaan frasa mengikut sistem bahasa Melayu yang menjadi teras bahasa kebangsaan. Sekiranya pegawai yang terlibat dalam hal itu tidak menguasai bahasa kebangsaan dengan betul, pegawai tersebut wajar dihantar untuk mengikuti kursus pendek dengan pihak berkuasa bahasa kebangsaan. Pegawai itu juga seharusnya merujuk kepada Unit Khidmat Bahasa yang terdapat di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapat nasihat yang sewajarnya. Perkhidmatan itu boleh dibuat secara langsung dengan pegawai yang bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, atau membuat rujukan melalui laman sesawang badan itu, www.dbp.gov.my.

PENUTUP

PENGGUNAAN bahasa kebangsaan sebenarnya tidaklah menyusahkan. Sistem yang sedia wujud dalam bahasa kebangsaan negara kita lebih mudah jika dibandingkan dengan sistem dalam bahasa Inggeris. Hal ini dapat dibuktikan dengan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia yang dapat bertutur dengan baik dalam masa yang tidak panjang.
Semua pihak – pengguna bahasa atau masyarakat, pihak berkuasa tempatan, dan pihak berkuasa bahasa kebangsaan – harus bekerjasama. Bahasa kebangsaan ialah bahasa rasmi negara yang perlu diberi keutamaaan penggunaannya sekiranya melibatkan orang awam. Papan tanda nama pada premis perniagaan dapat dianggap sebagai hal yang rasmi kerana pameran itu dilakukan untuk panduan dan pengetahuan awam.




[1] Nur Fatin Pakhriah binti Othaman (6A1), Norashikin binti Ramli (6A1). Muhammad Fakhruddin bin Fadzil (6A1), Mohd Faezuddin bin Alias (6A1), Amirul Imran bin Mohd Riza (6A2), dan Mazura binti Mohamad Azam (6A2)
[2] Nik Safiah Karim, et al. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 376-377




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya sesetengah nama yang dikata bercampur itu tidak boleh diubah kerana nama khas 'trademark' atau 'copyrighted' yang mana tidak sepatutnya diterjemahkan walaupun papan tanda di buat dalam bahasa Malaysia.

Sewajarnya...

banner

Khidmat Nasihat & Pedoman Bahasa - www.dbp.gov.my

banner

KONGSI BAHAN

Sekiranya anda berminat untuk berkongsi bahan, sila kirim melalui e-mel: saimimsalleh@gmail.com, atau imi6911683@yahoo.com.

Kesudian anda sangat dihargai.

MAKALAH PENULIS LAIN

MAAF dipohon daripada penulis dan penerbit makalah yang digunakan dalam laman ini tanpa kebenaran. Sekiranya penulis dan penerbitnya tidak mahu makalah tersebut terus digunakan, sila maklumi melalui e-mel: smsmsalleh@gmail.com.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada yang membenarkan karya disebarkan untuk manfaat anak-anak watan kita.

DENGAN NAMA ALLAH

YANG BERSAMA DENGAN KITA

 
Reka bentuk asal:Free WordPress Themes | Dijadikan Blogger oleh Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Terima kasih.